Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Kementerian Perdagangan Republik Turkiye memperkukuh kerjasama strategik melalui Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada 11 Februari lalu bersempena lawatan rasmi Presiden Republik Turkiye. Recep Erdogan ke Malaysia.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali dalam satu kenyataan hari ini berkata MoU itu memberikan tumpuan kepada kerjasama berkaitan aspek perlindungan pengguna dan pemantauan serta pemeriksaan pasaran.
“MoU ini sudah saya tandatangani bersama Menteri Perdagangan Republik Turkiye, Prof. Dr. Omer Bolat dan majlis pertukaran dokumen MoU turut disaksikan Erdogan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Melalui MoU ini, kedua-dua negara akan mendapat manfaat termasuklah penerokaan kerjasama untuk mendalami aspek standardisasi keselamatan barangan, pendekatan pendigitalan serta pengumpulan data dan analitik dalam pelaporan kepenggunaan dan harga barangan. Ini meliputi kaedah pengurusan aduan serta mekanisme pemantauan harga barang dan perkhidmatan,”katanya dalam kenyataan itu.
Beliau berkata jalinan kerjasama rasmi itu adalah berkesinambungan daripada perbincangan dan usaha rintis yang telah disepakati bersama Menteri Perdagangan Republik Turkiye semasa lawatan kerja ke Republik Turkiye pada bulan September tahun lalu.
Sehubungan itu, katanya bagi memastikan keberkesanan kerjasama yang dimeterai, kedua-dua pihak bersetuju untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa iaitu yang akan menggerakkan dan memantau aspek pelaksanaannya.
“Kewujudan kerjasama dan penubuhan jawatankuasa ini akan menjadi langkah tepat sekali gus memberikan faedah dan peluang kepada kedua-dua negara dalam berkongsi amalan terbaik, kepakaran, pengalaman serta pengetahuan untuk penambahbaikan dasar dan pelaksanaan program dalam bidang yang telah dipersetujui,”katanya.
IMedikel TV






