LONDON: Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) sedia melakukan siasatan terhadap adegan Cristiano Ronaldo diserbu enam individu yang menceroboh padang ketika Portugal mengatasi Turkiye 3-0 dalam aksi Euro 2024.
Pemain berusia 39 tahun itu berswafoto dengan seorang peminat cilik yang memasuki padang pada separuh masa kedua, namun kurang senang apabila tiga lagi penyokong mendekatinya sebelum wisel penamat.
Dua lelaki melanggar kawalan keselamatan dan mendekati bintang itu ketika meraikan kemenangan selepas perlawanan dan insiden itu mendorong pengurus Portugal, Roberto Martinez menyatakan ‘kebimbangan’ terhadap keselamatan pemain.
Dia berkata: “Mungkin niat peminat adalah baik. Namun, akan ada saat sukar jika niatnya salah dan pemain terdedah.
“Saya tidak fikir ia sepatutnya berlaku. Mungkin ada mesej kepada peminat bahawa ini bukan cara yang betul. Tidak bagus pemain terlalu terdedah di atas padang.”
Bernardo Silva, yang menjaringkan gol pembukaan Portugal berkata: “Saya tidak begitu memikirkannya, cuma ia tidak bagus apabila permainan kerap dihentikan kerana peminat memasuki padang.
“Itulah harga yang anda perlu bayar kerana terlalu diiktiraf dalam dunia bola sepak dan memiliki pemain seperti itu (Ronaldo) bersama kami. Bagi aspek berasa terancam, saya secara peribadi tidak fikir begitu.”
UEFA difahamkan sedang meneliti semula insiden terbabit.
Insiden awal menyaksikan seorang peminat cilik berjaya melepasi kawalan keselamatan untuk berswafoto dengan Ronaldo di bulatan tengah.
Penyokong yang menyarung baju sukan berwarna merah itu muncul dari belakang bangku simpanan pada pertengahan babak kedua perlawanan di Dortmund dan meluru ke arah kapten Portugal. – AGENSI,BH Online –
Imedikel TV






