Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
Pernahkah kita dengar tentang semut Charlie? Sejenis serangga yang mempunyai sayap untuk terbang dan boleh menggigit sehingga mengeluarkan bisa yang boleh memudharatkan tubuh manusia.
Serangga ini biasanya mendiami kawasan semak-samun terutama di hutan, padang serta sawah. Ia juga amat tertarik dengan cahaya lampu.
Apabila semut Charlie terdedah kepada manusia, ia boleh menyebabkan banyak gejala terutamanya pada kulit kerana terdapat sejenis toksin iaitu Pederin pada semut tersebut.
Mungkin ramai yang akan sangka bahawa bisa serangga ini akan terdedah kepada manusia melalui gigitan namun ia hanya boleh tersebar melalui sentuhan kulit ke kulit.
Sekiranya bisa ini berpindah daripada badan semut terbang ke badan manusia, mereka akan merasakan gejala seperti:
GEJALA
1.Kulit menjadi merah atau hitam
2.Kulit gatal dan pedih
3.Kulit bengkak dan meradang
4.Muncul nanah atau gelembung air
5.Demam suhu tinggi
6.Sakit badan
7.Pening kepala
8.Mual-mual
9.Muntah-muntah
Jika individu itu menjadi mangsa kepada ‘gigitan’ semut Charlie, berikut adalah beberapa langkah rawatan yang boleh di ambil bagi mengurangkan keterukan gejala:
RAWATAN
1.Jangan sentuh semut Charlie
Pastikan tidak pegang serangga tersebut mahupun bersentuhan dengan bahagian yang telah terdedah dengan toksinnya, perlu lapik seperti kain atau tisu untuk membuangnya.
2.Basuh dengan sabun
Basuh kawasan kulit yang terjejas dengan air bersih dan sabun secepat yang mungkin. Oleh sebab toksin tersebut mengambil masa yang agak lambat untuk serap ke dalam kulit.
3.Tuam dengan kain sejuk
Langkah ini bertujuan untuk meredakan bengkak atau keradangan.
4.Sapukan krim/aloe vera
Bagi mengurangkan kegatalan, krim steroid topikal boleh disapukan pada kawasan yang terkena bisa tersebut. Dari segi kaedah tradisional pula, digalakkan menyapukan aloe vera yang mempunyai banyak manfaat dalam penjagaan luka.
Bagi mengatasi gejala ‘gigitan’ semut Charlie, pencegahan memainkan peranan yang penting. Antara cara-cara yang boleh diamalkan untuk melindungi diri dan kediaman daripada serangan semut Charlie ialah:
CARA MENGATASI
1.Memakai pakaian yang menutup tubuh badan supaya kurang terdedah kepada semut Charlie seperti baju berlengan panjang dan seluar panjang.
2.Tutup tingkap pada waktu malam dan sebelum tidur.
3.Pasangkan jaring pada tingkap dan pintu agar serangga tidak mudah masuk ke dalam rumah.
4.Pastikan lampu yang berdekatan tempat tidur dimatikan.
5.Gantikan lampu terang di rumah kepada lampu yang lebih malap supaya dapat kurangkan tarikan pada semut Charlie. Kurangkan penggunaan lampu ketika waktu malam jika tidak diperlukan.
6.Gunakan penyembur atau racun serangga.
IMEDIKEL TV






