AMERIKA SYARIKAT: Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke mahkamah di Manhattan, semalam, atas 34 pertuduhan jenayah memalsukan rekod perniagaan.
Ia berkait dakwaan beliau mendalangi pemberian wang sogokan kepada dua wanita membabitkan pelakon lucah, Stormy Daniels, serta bekas model Playboy, Karen Mcdougal, sebelum pilihan raya AS pada 2016 untuk menyekat penerbitan mengenai hubungan seksual mereka dengannya.

Ia adalah detik bersejarah yang menyaksikan Trump muncul sebagai bekas presiden AS yang pertama berdepan pertuduhan jenayah di mahkamah.
Pendakwa raya menuduh Trump memalsukan rekod perniagaan bagi menyembunyikan pelanggaran undang-undang pilihan raya ketika berkempen pada 2016.
Trump, 76, yang hadir ke mahkamah dengan memakai sut berwarna biru gelap dan tali leher merah mengaku tidak bersalah.
Trump yang juga pendahulu dalam pencalonan parti republikan pada 2024, menjawab ‘YA’ apabila hakim bertanya sama ada beliau memahami mengenai haknya. Pada ketika tertentu, hakim dilihat meletak tangan ke telinga seolah-olah meminta jawapan.
Pendakwa raya, chris conroy, berkata Trump selaku defendan dituduh memalsukan rekod-rekod perniagaan di New York bagi menyembunyikan konspirasi haram untuk menjejaskan integriti pilihan raya presiden 2016 serta pelanggaran undang-undang pilihan raya yang lain.
Walaupun memalsukan rekod perniagaan di New York adalah salah laku yang boleh dihukum penjara tidak lebih setahun, ia menjadi pertuduhan jenayah yang boleh dihukum penjara hingga empat tahun apabila dilakukan untuk tujuan pelaksanaan atau penyembunyian jenayah lain seperti pelanggaran undang-undang pilihan raya.
Sumber: BH Online & Reuters
– Imedikel TV






