Home Buletin Semasa TIGA MAUT, SEORANG PARAH DALAM NAHAS TRELER TANGKI DI GUA MUSANG

TIGA MAUT, SEORANG PARAH DALAM NAHAS TRELER TANGKI DI GUA MUSANG

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

GUA MUSANG: Tiga individu termasuk seorang kanak-kanak maut, manakala seorang lagi cedera parah dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan treler tangki di Kilometer 25, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superitendan Sik Choon Foo berkata, pihaknya menerima makluman berhubung kejadian itu daripada Pusat Kawalan Daerah (DCC) Gua Musang kira-kira jam 7 pagi.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah kereta yang dipandu lelaki tempatan berusia 21 tahun dalam perjalanan dari Kuala Krai menghala ke Gua Musang dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas memasuki laluan bertentangan.

“Kereta itu kemudian bertembung dengan sebuah treler tangki yang membawa muatan diesel dari arah bertentangan.

“Akibat pelanggaran itu, pemandu kereta bersama dua penumpang iaitu seorang wanita dewasa dan seorang kanak-kanak disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media.

Beliau berkata, seorang lagi penumpang yang berada di bahagian hadapan kereta mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Gua Musang untuk menerima rawatan lanjut.

Katanya, semua mangsa yang meninggal dunia berjaya dikeluarkan oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sebelum dibawa ke Unit Forensik Hospital Gua Musang bagi tujuan bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian,”katanya.

Beliau turut meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Aida di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Gua Musang menerusi talian 09-912 1222.

IMedikel TV 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here