Home Buletin Semasa PENUNGGANG MOTOSIKAL MAUT SELEPAS LEBIH LIMA JAM DIRAWAT

PENUNGGANG MOTOSIKAL MAUT SELEPAS LEBIH LIMA JAM DIRAWAT

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PASIR PUTEH: Seorang penunggang motosikal meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Anis (HTA), di sini, selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Kampung Baruh Merkang, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Supt. Saari Yaacob berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kemalangan itu daripada pemandu kereta terbabit pada jam 8.16 pagi.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 12.20 tengah malam apabila sebuah Perodua Kancil yang dipandu lelaki berusia 23 tahun sedang dalam perjalanan dari Jalan Baruh Merkang menghala ke Kampung Merkang.

“Setibanya di lokasi kejadian, pemandu kereta itu dipercayai membelok ke simpang di sebelah kanan sebelum sebuah motosikal jenis Modenas Kriss yang ditunggang lelaki berusia 47 tahun dari arah bertentangan melanggar bahagian kenderaan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau berkata, akibat kemalangan itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan di bahagian kepala dan kaki sebelum dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Tengku Anis untuk menerima rawatan lanjut.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 5.20 pagi semalam ketika menerima rawatan di hospital.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan,”katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Pasir Puteh, Sub Inspektor Jafri Alias @ Sulong di talian 019-9386224 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here