Home Buletin Semasa 859,760 PENGUNDI AKAN TUNAIKAN TANGGUNGJAWAB PADA PRN NEGERI SEMBILAN

859,760 PENGUNDI AKAN TUNAIKAN TANGGUNGJAWAB PADA PRN NEGERI SEMBILAN

Oleh: Wartawan IMedikel TV 

SEREMBAN: Seramai 859,760 pengundi akan tunaikan tanggungjawab mereka pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke 16, esok.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, seramai 15,344 petugas akan bertugas di 401 Pusat Mengundi pada hari tersebut.

Katanya SPR telah menjalankan proses semakan peralatan mengundi seperti peti undi, dakwat pilihan raya, kertas undi, petak undi dan sebagainya bagi kegunaan hari mengundi pada semalam dan hari ini.

“Proses semakan ini dilaksanakan untuk memastikan kesemua peralatan atau kelengkapan bagi hari mengundi esok, lengkap dan dalam keadaan baik. 

“Kesemua peralatan ini kemudiannya akan diagihkan kepada Ketua-Ketua Tempat Mengundi (KTM) bagi setiap Tempat Mengundi (Saluran),”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau turut menasihatkan agar pengundi tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir dan digalakkan mengikut masa keluar mengundi yang digalakkan seperti mana yang tercatat pada aplikasi MySPR Semak.

Walau bagaimanapun katanya pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari jam 8 pagi hingga 6 petang ATAU mengikut waktu pusat mengundi diwartakan.

“Pengundi juga diingatkan supaya membawa kad pengenalan bagi tujuan identifikasi oleh Kerani Pengundian Pertama (KP1) di saluran. 

“Pengundi diingatkan supaya tidak menyerahkan kad pengenalan kepada pihak lain selain daripada petugas pilihan raya.

“SPR juga ingin mengingatkan para majikan supaya membenarkan tempoh yang munasabah kepada pekerja mereka yang berdaftar sebagai pemilih untuk keluar mengundi pada PRN Negeri Sembilan Ke-16 pada 1 Ogos 2026 (Sabtu) sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,”katanya.

Khairul Shahril menjelaskan, SPR sekali lagi mengingatkan semua pihak yang bertanding bahawa tempoh rasmi berkempen akan tamat pada pukul 11.59 minit malam ini (31 Julai 2026, Jumaat).

Katanya selepas tempoh itu berakhir, semua pihak hendaklah menghentikan sebarang bentuk aktiviti berkempen termasuk aktiviti merayu undi termasuklah di luar Pusat Mengundi dan juga melalui saluran media sosial seperti Facebook, X (Twitter), Instagram, TikTok, Thread dan lain-lain.

“SPR juga mengingatkan bahawa semua parti atau calon bertanding adalah dilarang untuk membuka, membina atau menyelenggara barung pada hari mengundi kerana perkara tersebut adalah satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“SPR memaklumkan kepada semua pengundi bahawa penggunaan telefon bimbit di tempat mengundi (saluran) adalah tidak dibenarkan. Sebagai peringatan, notis atau poster larangan penggunaan telefon bimbit akan diletakkan di luar dan di dalam tempat mengundi.

“SPR turut menetapkan bahawa pengundi yang membawa telefon bimbit ke tempat mengundi perlu meletakkan telefon bimbit di tempat yang telah disediakan setelah menerima kertas undi dan mengambilnya semula setelah selesai mengundi

“Pelaksanaan tatacara pengundian yang baharu ini boleh dirujuk menerusi poster Tatacara 10 Langkah Pengundian yang menjelaskan proses pengundian sepenuhnya. Pengundi juga diingatkan agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing,”katanya.

Beliau berkata SPR berharap semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan etika pilihan raya bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya serta tidak menggugat ketenteraman awam. 

“Sebarang pelanggaran undang-undang yang berkaitan boleh dikenakan tindakan.

“Pengisytiharan keputusan rasmi bagi semua Bahagian Pilihan Raya Negeri akan diumumkan selepas proses penjumlahan rasmi undi bagi semua Bahagian Pilihan Raya Negeri diselesaikan,”katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here