Beijing: Seorang wanita di China dihukum penjara tiga tahun enam bulan kerana tidak sengaja menyebabkan kematian suaminya, ketika mempertahankan diri daripada serangan lelaki itu.
Mahkamah menjatuhkan hukuman itu selepas Zhang Ying (bukan nama sebenar) didapati bersalah membunuh tanpa niat, lapor Toutiao News.
Ketika kejadian pada 4 Mac 2022, wanita dari Wilayah Shandong itu didakwa menolak ajakan suaminya, Zhang Bin (bukan nama sebenar) untuk melakukan hubungan seks, menyebabkan lelaki terbabit berang dan memukulnya berulang kali.
Ying berkata, ketika pergelutan itu, mereka jatuh di atas katil yang membolehkan dia menggunakan siku untuk memukul leher dan kepala suaminya.
Bagaimanapun, tindakan itu menyebabkan kematian Bin yang kemudian disedari adik ipar Ying selepas menemui abangnya tidak bernyawa pada keesokan hari.
Dia bagaimanapun percaya abangnya meninggal dunia atas sebab semula jadi selepas Ying mendakwa tiada di rumah pada malam itu.
Ying dan anak perempuannya merayu supaya tidak diadakan bedah siasat ke atas mayat lelaki itu selepas dicadang keluarga, namun proses berkenaan tetap diadakan yang mendedahkan punca sebenar kematian.
Dalam laporan itu, kematian Bin berpunca akibat sesak nafas selepas ditekan pada leher, mulut dan hidung.
Bin dan Ying berkahwin selama 24 tahun namun hubungan mereka tidak harmoni yang menyebabkan Ying enggan melayani suaminya. – AGENSI, HMetro Online –
IMEDIKEL TV






