Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) berdepan dengan kekangan ruang dan bajet dalam penubuhan Pink Ribbon Centre (PRC) bagi membantu pesakit yang menghidap kanser di negeri ini.
Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, cadangan penubuhan itu memerlukan perbincangan lanjut untuk memastikan penjagaan pesakit diberi secara optima.
“Perkara ini ia bukan sahaja menjadi nilai tambah dalam penjagaan tetapi juga penting untuk memberi satu penjagaan yang holistik kepada pesakit khususnya dalam konteks penyakit kanser,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Sambutan Hari Kanser Sedunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ), di sini, hari ini.
Katanya, setakat ini pihaknya berusaha mencari ruang di beberapa hospital seperti Hospital Tanah Merah dan Hospital Bachok yang bakal beroperasi pada Jun nanti.

Tambahnya, badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Cancer Research Malaysia (CRM) tampil membantu merealisasikan impian tersebut dengan memberi sumbangan infrastruktur termasuk peralatan pengesanan kanser payudara.
“Sambutan hari kanser sedunia pada hari ini bertujuan untuk kita memberi kesedaran dan memberi sokongan kepada aktiviti yang boleh membantu dalam memperluaskan sokongan emosi kepada pesakit.
“Saya yakin bahawa aktiviti seperti ini sedikit sebanyak akan membantu untuk memberi kesedaran dan menyebar luas maklumat serta dapat diterjemahkan dalam tindakan dari segi saringan awal bagi menerima rawatan sebagaimana yang sepatutnya,” katanya.
Katanya, seramai 150 pesakit terdiri daripada pesakit kanser payudara, kanser usus, kanser ovari dan kanser paru-paru menerima wang sumbangan serta bakul makanan pada hari ini.
Turut hadir Pengarah HRPZ II, Dr Izamin Idris dan Pengerusi dan Pengasas Yayasan Kaseh Kanser (YKKK), Datuk Dr Imi Sairi Ab Hadi.
Jelasnya, program yang bertemakan “Rapatkan Jurang Penjagaan Kanser” itu bukan hanya memfokuskan kesedaran berkaitan penyakit kanser malah penyakit barah lain melalui pelbagai program sebagai tanda semangat terutama dalam membantu emosi pesakit itu sendiri.
IMedikel TV






