Home Buletin Semasa TAPAK PELUPUSAN BERIS LALANG BERNAFAS BAHARU DENGAN PROJEK LANDFILL MINING

TAPAK PELUPUSAN BERIS LALANG BERNAFAS BAHARU DENGAN PROJEK LANDFILL MINING

1038
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

BACHOK: Tapak pelupusan sisa pepejal Beris Lalang kini memasuki fasa baharu pengurusan mampan apabila Projek Landfill Mining mula beroperasi sepenuhnya sejak Januari lalu.

Pengarah Urusan Dwitekno, Mohd Fadzil Zamrod berkata usaha itu dilihat sebagai langkah proaktif dalam menangani cabaran pengurusan sisa pepejal.

“Dalam fasa ini, kami memberi tumpuan kepada pemulihan empat komponen utama iaitu bahan organik untuk dijadikan kompos, plastik pakai buang lembut yang selama ini sukar diproses, plastik keras yang masih mempunyai nilai dan logam yang boleh dikitar dan dijual semula.

“Hasil utama projek ini adalah kompos organik yang diproses daripada sisa lama melalui teknologi Bio Pengeringan (bio-drying),” katanya ketika ditemui di Majlis Perasmian Projek Landfill Mining di Tapak Pelupusan Beris Lalang, di sini hari ini.

Mohd Fadzil berkata, pihaknya merancang meningkatkan kapasiti pemprosesan sisa harian daripada 50 tan kepada 500 tan sehari dalam tempoh empat tahun, dengan hanya 30 peratus daripadanya dijadikan baja organik manakala 20 peratus lagi terdiri daripada plastik, logam dan bahan lain yang akan dikitar semula.

Jelasnya, pelaksanaan projek itu menggunakan dua teknologi penting iaitu penghasilan bahanapi daripada sisa sebagai bahan api alternatif untuk kegunaan industri serta sistem pirolisis bagi menukar plastik yang sukar dikitar semula kepada diesel industri.

“Sisa pepejal di sini sudah lama dengan puncak paling tinggi ialah setinggi 30meter dan kira-kira mengambil masa 15 tahun untuk diproses,” katanya.

Beliau berkata projek itu adalah hasil kerjasama strategik antara Pengurusan Sisa Pepejal Mubarakan Sdn Bhd (PSPM) dan Dwitekno Sdn Bhd, dan menjadi titik permulaan kepada pendekatan baharu dalam pengurusan sisa pepejal secara mampan.

Sementara itu, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah berkata Projek Landfill Mining perlu diperluas ke lokasi lain.

“Selepas kita berjaya buat di sini kita mencadangkan kepada Dwitekno untuk masuk ke tapak pelupusan di Tumpat di Kok Bedollah.

“Keluasan di sana kita ada 90 ekar lebih tapak pelupusan yang berpotensi untuk dibuat landfill mining,” katanya.

Terdahulu, Hilmi merasmikan majlis tersebut.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here