Home Luar Negara PUNCA NAHAS MAUT AIR INDIA DISIASAT SELEPAS KEDUA-DUA KOTAK HITAM DITEMUI

PUNCA NAHAS MAUT AIR INDIA DISIASAT SELEPAS KEDUA-DUA KOTAK HITAM DITEMUI

454
0

NEW DELHI: Pasukan penyiasat di India berjaya menemui kotak hitam kedua pesawat Air India jenis Boeing 787 yang terhempas di Ahmedabad ketika dalam penerbangan ke London, mengorbankan sekurang-kurangnya 279 nyawa.

Memetik laporan Agensi menerusi Berita Harian, perakam suara kokpit (CVR) telah ditemui pada Jumaat, sehari selepas tragedi berlaku, kata PK Mishra, pembantu kanan kepada Perdana Menteri India, Narendra Modi, dalam satu kenyataan.

Daripada 242 penumpang dan anak kapal dalam pesawat itu, hanya seorang penumpang terselamat apabila terhempas di kawasan perumahan pada Khamis, menyebabkan sekurang-kurangnya 38 orang di darat turut terkorban.

“Biro Penyiasatan Kemalangan Udara (AAIB) telah melancarkan siasatan terperinci.

“Pada masa sama, Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Amerika Syarikat (NTSB) turut menjalankan siasatan selari mengikut protokol antarabangsa memandangkan pesawat itu buatan Amerika Syarikat (AS).

“Pegawai mengesahkan bahawa FDR (perakam data penerbangan) dan CVR telah berjaya dikesan serta diselamatkan,” katanya.

Beberapa pakar menyatakan masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan mengenai punca sebenar nahas yang berlaku sejurus selepas pesawat berlepas.

Kotak hitam dijangka memberikan maklumat penting kepada penyiasat, termasuk perbualan dalam kokpit serta data berkaitan enjin dan penetapan kawalan pesawat.

Pesawat Air India yang menuju ke London itu Boeing 787 jenis Dreamliner, terhempas di atas sebuah asrama kolej perubatan sejurus selepas berlepas dari bandar Ahmedabad.

Hanya seorang penumpang terselamat, manakala 241 penumpang dan anak kapal serta 29 orang di darat maut, menjadikannya antara tragedi penerbangan terburuk di India dalam tempoh beberapa dekad.

Pakar dari Biro Penyiasatan Kemalangan Udara India menjalankan siasatan dengan bantuan pakar dari United Kingdom (UK), AS serta wakil syarikat Boeing.

CVR merakam perbualan juruterbang, isyarat kecemasan serta sebarang tanda amaran sebelum nahas.

FDR pula menyimpan maklumat teknikal seperti penetapan enjin dan kawalan pesawat. Kedua-dua peranti ini direka untuk tahan dalam keadaan nahas.

Pihak berkuasa penerbangan India memaklumkan pesawat berkenaan sempat membuat panggilan kecemasan (mayday) sebelum terhempas.

Penyiasat turut akan meneliti rakaman CCTV di kawasan sekitar dan temu bual saksi bagi mengenal pasti punca sebenar nahas.

Rekod latihan juruterbang, jumlah muatan pesawat, prestasi enjin, serta status penyelenggaraan termasuk sebarang isu teknikal yang pernah dilaporkan sebelum ini akan dikaji secara terperinci.

Kerajaan India telah menubuhkan sebuah jawatankuasa khas peringkat tinggi untuk menyiasat punca nahas dan merangka prosedur bagi menangani kecemasan membabitkan pesawat pada masa hadapan. Laporan awal dijangka dikemukakan dalam tempoh tiga bulan.

Pihak berkuasa juga memulakan pemeriksaan tambahan terhadap keseluruhan armada Boeing 787 Dreamliner milik Air India bagi mengelakkan tragedi berulang. Air India kini memiliki 33 pesawat jenis itu.

Pesawat yang terhempas berusia 12 tahun. Beberapa model pesawat keluaran Boeing sebelum ini pernah dikaitkan dengan isu keselamatan, namun ini nahas maut pertama membabitkan model 787 Dreamliner sejak ia mula beroperasi 16 tahun lalu, menurut pakar. – AGENSI, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here