Home Buletin Semasa KELANTAN TUAN RUMAH I-MYSK 2025: PLATFORM ANAK MUDA ISLAM DUNIA SUARAKAN SOLIDARITI...

KELANTAN TUAN RUMAH I-MYSK 2025: PLATFORM ANAK MUDA ISLAM DUNIA SUARAKAN SOLIDARITI PALESTIN

449
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU:Kelantan bakal menjadi medan solidariti anak muda Islam sedunia apabila menganjurkan International Muslim Youth Summit Kelantan (I-MYSK) 2025: “Echo of Palestine: Voice of the Voiceless” pada 20 hingga 21 Jun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, Zamakhshari Muhammad berkata program itu adalah platform solidariti dan inisiatif strategik anak muda untuk mengangkat isu Palestin ke pentas antarabangsa melalui suara dan tindakan belia Islam sedunia.

“Majlis perasmian akan berlangsung pada malam 20 Jun dan disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, dengan ucapan pembukaan oleh saya sendiri.

“Program ini merupakan manifestasi kepada aspirasi Kelantan Futures State 2033 untuk menjadikan suara anak muda sebagai pemimpin wacana global dan agen perubahan sejagat,”katanya di sidang media, di Kota Darulnaim, di sini, hari ini.

Menurut beliau program selama dua hari itu bukan sahaja menyatukan lebih 150 peserta dari seluruh dunia, termasuk Palestin, Turkiye, Mesir, United Kingdom (UK), Afrika Selatan dan Indonesia, malah turut menghimpunkan lebih 50 NGO serantau dalam agenda memperjuangkan pembebasan Palestin secara strategik.

“Persidangan ini akan menjadi ruang wacana dan advokasi strategik belia Islam dalam isu Palestin dari sudut politik global, hak asasi manusia, serta cabaran propaganda dalam era maklumat.

“Beberapa panel akan ditampilkan membincangkan agenda penting seperti termasuk Faizal Tahir, Ahmet Hakan Kesimoglu (Corporate Communication Specialist, Islam Dusunce Enstitusu, Ankara) Dr. Khalid El-Awaisi (Department of Islamic History, University Of Ankara) Dr. Muhammad Osama Shafiq (Director of the Institute for Media & Social Dynamics (UK)) Ahmad Faezal (Influencer; Independent Video Journalist and Geopolitical Writer, The Patriots Publishing) Muhammad Nadir Al-Nuri (Humanitarian Activist, Founder at Cinta Gaza Malaysia) Azri Ramli @ Caprice (Pempengaruh),”katanya.

Beliau berkata acara kemuncak I-MYSK 2025 ialah Himpunan 10,000 Untukmu Palestin pada malam 21 Jun di Stadium Sultan Muhammad IV, yang menyasarkan kehadiran lebih 10,000 rakyat.

“Pihak penganjur berharap agar persidangan pada kali ini akan menatijahkan satu keputusan dan idea baru yang praktikal bagi membantu rakyat dan pembebasan Palestin secara strategik dan berkesan.

“Di samping itu, program ini juga diharap dapat memberi kesedaran kepada seluruh rakyat Kelantan dan Malaysia bahawa isu Palestin adalah isu kemanusiaan sejagat yang wajib dipikul oleh semua rakyat tanpa mengira agama dan bangsa,”katanya.

Tambahnya himpunan itu bakal menampilkan segmen persembahan nasyid In-Team, ucapan pemimpin aktivis NGO dan pembacaan Deklarasi Kelantan Untuk Palestin oleh wakil belia sebagai simbolik solidariti rakyat.

Penganjur menjangkakan resolusi persidangan ini akan menghasilkan cadangan praktikal dan kerangka tindakan bersama untuk menyokong perjuangan rakyat Palestin secara lebih tersusun dan efektif.

“Dengan pelaksanaan tiga komponen utama ini perasmian beridentiti kenegaraan, persidangan berwacana global, dan himpunan massa sebagai ekspresi rakyat program I-MYSK Echo of Palestine di Kelantan diharapkan menjadi mercu tanda bahawa melalui dasar Penghayatan Membangun Bersama Islam, Kelantan mampu menjadi pemimpin suara umat dalam isu-isu antarabangsa.

“Justeru, kami dengan rendah hati menjemput seluruh rakyat Malaysia, khususnya golongan muda, untuk bersama menyertai, memeriahkan dan menyebarluaskan agenda murni ini sebagai sebahagian daripada jihad intelektual dan kemanusiaan untuk Palestin,”katanya.

Sidang antarabangsa itu anjuran Urusetia Belia dan Sukan (UBES) dengan sokongan Kerajaan Negeri Kelantan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here