Home Segmen Kesihatan TAHI LALAT PETUNJUK KESIHATAN KULIT

TAHI LALAT PETUNJUK KESIHATAN KULIT

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

Tahi lalat adalah salah satu ciri kulit yang biasa ditemui pada hampir semua orang. Namun, ramai tidak mengetahui bahawa tahi lalat bukan sekadar tanda lahir atau hiasan semula jadi pada kulit, tetapi ia juga boleh menjadi petunjuk kepada kesihatan kulit seseorang.

Menurut portal hellodoktor, tahi lalat adalah kondisi kulit yang dikenali dalam bahasa perubatannya sebagai nevus melanositik dan biasa terjadi kepada individu terutamanya semasa awal usia kanak-kanak juga boleh berlaku kepada invididu dewasa.  Kondisi kulit ini akan menyebabkan kemunculan bintik atau bonjol yang berwarna hitam atau coklat. Ia boleh timbul pada muka dan mana-mana sahaja bahagian badan.

Tahi lalat biasanya bersifat kekal namun mungkin boleh berubah warna, bentuk dan ukuran atau mungkin boleh hilang seiring dengan perjalanan usia, bergantung kepada individu.

Perubahan bentuk, saiz, warna, atau tekstur tahi lalat boleh menjadi tanda awal masalah kulit, termasuk kanser kulit jenis melanoma. Pakar dermatologi sering menggunakan pendekatan “ABCDE” untuk memantau tahi lalat:

A: Asimetri (bentuk tidak sekata)
B: Border (sempadan yang tidak jelas)
C: Colour (warna tidak sekata)
D: Diameter (lebih besar daripada 6mm)
E: Evolution (perubahan dalam saiz, warna, atau simptom seperti pendarahan atau kegatalan).
Bagaimanapun, jika anda melihat tanda-tanda ini, segera berjumpa doktor kulit untuk pertanyaan lebih lanjut.

Faktor Risiko dan Tabiat Penjagaan

a) Pendedahan kepada Sinaran UV
Sinaran ultraviolet (UV) daripada matahari atau penggunaan katil penyamakan (tanning beds) boleh merangsang perubahan pada tahi lalat. Penggunaan pelindung matahari (sunscreen) dengan SPF yang mencukupi dapat membantu melindungi kulit anda.

b) Genetik
Individu yang mempunyai ahli keluarga dengan sejarah kanser kulit berisiko lebih tinggi.

c) Jumlah Tahi Lalat
Memiliki lebih daripada 50 tahi lalat di seluruh badan meningkatkan risiko melanoma.

Bagaimanapun tidak semua tahi lalat perlu dibuang. Ramai percaya tahi lalat mesti dibuang untuk mengelakkan kanser. Hakikatnya, hanya tahi lalat yang menunjukkan perubahan mencurigakan perlu dikeluarkan, dan ia mesti dilakukan oleh pakar dermatologi.

Pemeriksaan kulit secara berkala, sama ada sendiri atau bersama pakar dermatologi, adalah cara terbaik untuk memantau perubahan pada tahi lalat.

Menurut pakar dermatologi, Dr. Ruban Nathan, tahi lalat biasanya tidak berbahaya, tetapi pemeriksaan awal terhadap perubahan yang mencurigakan dapat menyelamatkan nyawa.

“Kanser kulit, jika dikesan awal, boleh dirawat dengan kadar kejayaan yang tinggi,”katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here