SEDEKAD melayari kehidupan sebagai suami isteri, pastinya penyanyi rock legenda Datuk Awie dan Datin Ladyana turut berdepan pahit manis dan onak duri.
Memetik laporan Harian Metro, Namun, kesabaran yang bersulamkan kesetiaan dan kepercayaan, menjadikan perjalanan cinta mereka semakin hari semakin indah.
Lebih istimewa, sepanjang 10 tahun bersama, mereka diserikan dengan kehadiran dua hero comel iaitu Putra Ahmad Andeeka, 6, dan Putra Ahmad Arjunna, 2.
Maka tidak hairanlah apabila majlis meraikan ulang tahun ke-10 perkahwinan mereka di Elissa Garden, Gombak pada 22 November lalu, berlangsung penuh dengan emosi.
Bertambah emosi apabila majlis ini turut mengumpulkan lima lagi anak Datuk Awie daripada perkahwinan terdahulu.
Putri Aleeya Antasha, 26, dan Putri Aleefa Antasha, 24, adalah anak dari perkahwinan dengan Arni Nazira, manakala Putra Ahmad Merrah, 19, Putra Ahmad Rezzki, 18, dan Puteri Qasseh Antasha, 16, pula perkahwinan dengan Rozana Misbun.
Selesai anak-anak meluahkan perasaan, giliran Ladyana pula meluahkan perasaan terhadap suami tercinta sepanjang 10 tahun yang dilalui.
“Kepada suamiku, ini mesej untuk kamu. Terima kasih untuk 10 tahun yang hebat. I nak you tahu ‘it’s not easy to be me, sharing you with everyone. But I really appreciate sayang’ (Bukan mudah jadi diriku, berkongsi kamu dengan peminat. Tapi aku sangat hargai, sayang’.
“Syukur Alhamdulillah. Kita berjaya menempuh segala pahit manis bersama-sama. Banyak yang berlaku yang mengajar kita untuk kuat sepanjang hari ini.
“Sayang, terima kasih kerana menjadi suami I. Terima kasih kerana menjadi suami yang bertanggungjawab. Terima kasih kerana menjadi suami yang penyayang.
“Dan terima kasih kerana menjadi lelaki yang sempurna untuk keluarga kita. Terlalu banyak pengorbanan you untuk keluarga kita and I really appreciate. I selalu berdoa agar kita bersama sampai akhir hayat. I love you so much,” katanya yang sesekali sebak.
Awie pula berkongsi sedikit sejarah berkenaan perkahwinan mereka pada 7 Oktober 2016 yang berlangsung di Songkhla, Thailand.
“Kami bukan lari kahwin di sana. Sebenarnya itu atas permintaan saya kerana berjumpa dengan saudara-mara saya di sana. Sebenarnya saya ada (pertalian) darah di sana.
“Jadi dapatlah. Saya minta izin dengan ibu bapanya, saya akan bernikah di sana dan buat majlis di sana. Pada ketika itu, kami tengah dalam keadaan yang susah.
“Saya buat majlis itu, sampai terlupa tak ada duit nak bayar dekat hotel itu, RM10,000. Itulah kenangan paling sedih dan juga memberi 1,000 makna dalam perjuangan perkahwinan ini,” katanya.
Vokalis Wings ini berkata, dia bersyukur kerana dalam keadaan dirinya berdepan kesusahan dipertemukan dengan wanita yang hebat iaitu Ladyana.
“Saya berjumpa dan dia sangat memahami diri saya, kepayahan saya. Membina sebuah mahligai dalam keadaan yang paling susah bagi kita.
“Saya balik ke Malaysia, berhempas pulas cari duit, datang balik ke Songkhla, bayar dalam keadaan yang saya malu dan sebagainya, saya harungi juga. Itulah permulaan detik kami bernikah.
“Kami mulakan langkah dengan keadaan yang kosong. Tak ada apa-apa. Tapi Alhamdulillah, wanita ini yang mahu bersama dengan saya yang pastinya gila dan jahat, juga nakal,” katanya.
Katanya, dia sangat bersyukur rumah tangga mereka kini sudah mencecah usia 10 tahun dan mendedikasi kata-kata penghargaan buat isterinya pada malam itu.
“10 tahun bukan masa yang singkat sayang. Kita lalui sama-sama. Susah senang kita dah rasa. Onak duri kita dah pijak sama-sama. Orang nampak kita bahagia. Orang nampak kita bahagia hari ini, tapi orang tak tahu macam mana peritnya perjalanan kita untuk sampai ke sini.
“Waktu saya mula-mula kenal Sharifah Ladyana Syed Shamsuddin, saya bukan lelaki yang sempurna. Saya datang dengan masa lalu.
“Saya datang dengan luka dan saya datang dengan lima orang anak. Saya ingat lagi perasaan takut itu, takut dia menolak akan lamaran ini, takut dia tak boleh terima saya kerana ada lima orang anak.
“Tapi wanita ini berhati kental, tak pernah tanya masa lalu saya. Dia tak pernah ungkit, terima saya seadanya. Dia terima anak-anak saya macam anak-anak dia. Dia sayang mereka, dia jaga mereka, dia didik mereka.
“Tiga anak saya di bawah jagaannya ke universiti. Terima kasih sayang. Terima kasih sebab terima I yang ada anak lima waktu itu. Susah saya rasa bagi seorang wanita untuk menerima anak-anak tiri,” katanya.
Tambah Awie lagi, kesusahan dan kesetiaan Ladyana bersamanya, dibalas oleh Allah dengan memberikan rezeki melimpah.
“Allah kurniakan kita dua orang lagi, anak-anak yang comel dan manja, Alhamdulillah. Sekarang kita ada tujuh cahaya mata, tujuh amanah Allah. Syukur Alhamdulillah. Buat semua yang hadir saya mohon doakan kami.
“Doakan agar Allah kekalkan jodoh kami hingga ke jannah. Doakan agar anak-anak kami jadi anak-anak yang soleh dan solehah. Doakan agar rumah tangga kami kekal dalam sakinah, mawaddah warahmah.
“Sayang, kalau Allah bagi I pilih semula, I tetap akan pilih you. Hari ini, esok dan sampai bila-bila, you are the best. Insya-Allah, I berjanji selagi I bernafas, I akan terus bersama you,” katanya.
Majlis berkenaan turut diserikan dengan sambutan ulang tahun ke-11 Wings Motor Gang Society (WMGS), komuniti yang diasaskan atas semangat persaudaraan, minat terhadap dunia permotoran dan kecintaan terhadap muzik Wings. – HMetro –
IMedikelTV






