Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Golongan T20 dan M40 sama sekali tidak menyangka mereka turut menerima manfaat menerusi Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini.
Bagi penerima SARA kategori M40, Hartini Awang, 44, dia bersyukur kerana juga diberi perhatian dan terasa dihargai menerusi bantuan itu.
“Tambahan pula, beban kewangan juga semakin terasa dengan peningkatan kos sara hidup, bantuan ini sangat membantu meringankan perbelanjaan bulanan berbanding sebelum ini,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Katanya, bantuan itu turut menjadi tanda kerajaan peka dengan keadaan semasa rakyat termasuk golongan pertengahan yang turut terkesan tetapi sering terlepas pandang.
Sementara itu, Pengarah Kolej Poly Tech Mara (KPTM) Kota Bharu, Raja Izuddin Raja Ahmad, menyifatkan inisiatif itu sebagai usaha kerajaan untuk menggalakkan semangat kebersamaan rakyat tanpa bantuan.

“Ia simbolik bahawa semua rakyat termasuk golongan T20 adalah sebahagian daripada usaha kolektif menghadapi cabaran ekonomi,” katanya.
Beliau yang juga penerima kategori T20 berkata, inisiatif kerajaan menerusi SARA itu membawa mesej bahawa kerajaan ingin memastikan semua rakyat mendapat manfaat.
Selain itu, Nurul Asikin Zahari, 40 yang penerima kategori T20 berkata bantuan berkenaan dianggap sebagai rezeki tidak disangka memandangkan sebelum ini dia menganggap bantuan kerajaan hanya tertumpu kepada golongan B40.

“Pada awalnya saya memang terkejut dan pelik kerana terpilih dalam pemberian bantuan ini, tetapi alhamdulillah rasa gembira sangat, bak kata orang rezeki jangan ditolak dan terima kasih PMX.
“Dengan nilai RM100 yang diberi menerusi MyKad ini macam-macam boleh beli terutama keperluan harian,” katanya yang bekerja sebagai Pegawai Latihan Dalam Perkhidmatan Institut Pendidikan Guru Kampus Kota Bharu.
IMedikel TV






