Home Sukan SZE FEI-IZZUDDIN TERKANDAS LAGI DI SUKU AKHIR

SZE FEI-IZZUDDIN TERKANDAS LAGI DI SUKU AKHIR

148
0

KUALA LUMPUR: Hasrat untuk menamatkan badi berturut-turut terkandas di suku akhir terus berpanjangan buat beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani apabila tewas pada Terbuka Indonesia, sebentar tadi.

Biarpun sudah menunjukkan semangat juang begitu tinggi untuk ‘menjinakkan’ gandingan nombor dua dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang namun lawan di suku akhir itu nyata lebih bijak memanfaatkan ruang di gelanggang.

Sze Fei-Nur Izzuddin memenangi set pertama 21-18 sebelum kedua-dua beregu itu saling bertukar mata di set kedua namun lawan mereka pada final Kejohanan Asia dari China itu mengubah corak permainan lebih pantas untuk mengheret perlawanan ke set penentuan dengan memenangi set kedua 21-18.

Pada set penentuan, Wei Keng-Wang Chang terus menguasai awal saingan namun Sze Fei-Nur Izzuddin menunjukkan kebangkitan untuk mengejar hingga kedudukan terikat 19-19 sebelum gandingan dari China itu memuktamadkan kemenangan dengan keputusan 21-19.

“Saya fikir, kami sudah bermain dengan baik di set pertama tetapi di hujung set kedua, kami terutamanya saya, sedikit hilang fokus dan juga keyakinan,” kata Sze Fei kepada BWF selepas perlawanan.

“Sudah tentu kami kecewa dengan keputusan ini, tetapi yang penting kami sudah melakukan yang terbaik.”

Kekalahan di suku akhir adalah yang ketiga berturut-turut buat gandingan ranking ke-13 dunia itu selepas turut kecundang di Terbuka Singapura dan Master Malaysia selain yang ketiga di tangan Wei Keng-Wang Chang.

Sebelum ini, mereka tewas di tangan Wei Keng-Wang Chang di final Kejohanan Asia 2024 dan pusingan pertama Terbuka Malaysia 2023.- BH Online –

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here