PARIS: Pemain nombor satu dunia, Jannik Sinner meneruskan aksi cemerlang apabila mara mudah ke pusingan kedua Terbuka Perancis selepas menewaskan Clement Tabur awal pagi tadi.
Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian, pemain Itali berusia 24 tahun itu hanya memerlukan dua jam untuk menundukkan pemain wildcard tuan rumah itu 6-1, 6-3, 6-4.
Kemenangan itu juga menjadi kemenangan ke-30 berturut-turut buat Sinner sekali gus memberi amaran jelas kepada pencabarnya dia serius memburu gelaran Grand Slam karier di Roland Garros.
Selepas menjuarai ketiga-tiga kejohanan Masters 1000 di gelanggang tanah liat menjelang Roland Garros, Sinner kini dilihat semakin serasi di permukaan itu.
Tanpa juara dua kali berturut-turut dan pemain nombor dua dunia Carlos Alcaraz dalam saingan di Paris, ramai melihat Sinner sebagai calon utama menjulang Coupe des Mousquetaires buat kali pertama pada final lelaki 7 Jun ini.
“Saya amat gembira dapat kembali ke sini, ia tempat yang sangat istimewa.
“Perlawanan pusingan pertama tidak pernah mudah tetapi lebih istimewa apabila memulakan kejohanan dalam aksi sesi malam,” kata Sinner.
Kali terakhir Sinner beraksi di Gelanggang Philippe Chatrier adalah ketika final Terbuka Perancis tahun lalu apabila dia tewas dalam pertarungan lima set selepas mensia-siakan tiga mata kejuaraan.
Namun pemain kelahiran San Candido itu langsung tidak menunjukkan sebarang tekanan apabila memulakan aksi garang dan memenangi set pertama hanya dalam tempoh 30 minit dengan kehilangan satu game sahaja.
Tabur yang berada di ranking ke-171 dunia cuba memberi tentangan di depan penyokong sendiri tetapi pukulan deras dan tepat Sinner terlalu sukar disekat.
Sinner akan bertemu pemain Argentina, Juan Manuel Cerundolo pada pusingan kedua. – AFP, BH Online –
IMedikel TV






