PETALING JAYA: “Dari dulu saya pegang media sosial bukanlah medium untuk kongsi mengenai rumah tangga.”
Demikian kenyataan bekas penyampai radio, Shuk Sahar, 38, yang mengakui tidak gemar berkongsi kisah rumah tangga sekarang mahupun terdahulu.
Shuk atau nama sebenarnya, Mohamad Shukri Mohamed Sahar berkata, itulah adalah prinsip dipegang sejak dahulu lagi.
“Kalau teliti mengenai saya, boleh nampak saya tidak bercakap mengenai bekas isteri meskipun ketika hubungan baik atau tidak.
“Saya bersyukur kami ambil keputusan meneruskan haluan masing-masing dan anak-anak masih baik dengan saya.
“Sejak dulu, prinsip inilah saya pegang. Saya juga tidak kisah saya betul atau tidak, tetapi takkan bercakap dalam media sosial.
“Kongsi cerita dalam media sosial umpama buka ruang untuk netizen mengata semula. Dari situ, wujudnya buli siber secara tidak langsung.
“Bila terlalu banyak berkongsi dan netizen ambil tahu, kita kena terima apa sahaja mereka cakap, jadi lebih baik tak payah kongsi apa-apa,” katanya kepada BH Online.
Shuk berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media Dol’s Podcast bersama Shuib dan Fizie di Tasty Chapati, di sini, petang semalam.
Katanya, meskipun sudah mendirikan rumah tangga kali kedua bersama Fara Salleh pada November lalu, dia tetap menjaga hubungan dengan bekas isteri, Rossalennah Natassyiah Asshaferah atau Sera dan anak-anaknya.
“Hubungan saya dan anak-anak masih baik. Sekarang ada telefon yang boleh buat panggilan video.
“Anak-anak pula duduk di Sabah sebab mereka sudah bersekolah di sana.
“Bagi saya, saya sibuk ulang-alik ke Singapura, jadi saya bagi yuran perbelanjaan dan nafkah, kami setuju secara baik.
“Bila buat panggilan video, anak-anak saya angkat dan bila ada masa kami berjumpa. Setakat ini, masalah dengan anak-anak tiada.
“Kalau isteri, kita boleh dipisah dengan satu akad, tapi anak-anak hubungan sampai mati,” katanya.
Apabila ditanya sama ada menanti cahaya mata lagi, Shuk tidak menolak rezeki, namun buat masa ini, isterinya belum hamil.
“Belum lagi berisi, saya tidak menolak kalau andai kata rezeki anak. Kami tak merancang sebab anak itu adalah rezeki dan saya pula sukakan kanak-kanak.
“Fara menguruskan perniagaan sendiri dalam bidang kosmetik, tapi kami tak berniaga di Malaysia sebaliknya Singapura,” katanya.
– BH Online –
Imedikel TV






