Home Sukan COLOMBIA BENAM URUGUAY KE FINAL COPA

COLOMBIA BENAM URUGUAY KE FINAL COPA

139
0

CHARLOTTE, Amerika Syarikat: Colombia yang beraksi dengan 10 pemain menewaskan Uruguay 1-0 untuk mara ke final Copa America buat kali pertama dalam tempoh 23 tahun selepas pertembungan separuh akhir yang berlangsung dalam suasana ‘panas’.

Tandukan Jefferson Lerma pada minit ke-39 sudah cukup untuk Colombia meraih tiket ke final sekali gus bertemu juara bertahan, Argentina di Miami Gardens, pagi Isnin ini.

Colombia yang kehilangan Daniel Munoz susulan kad merah sebelum rehat berjaya menahan asakan Uruguay untuk menggembirakan penyokong mereka yang membanjiri Stadium Bank of America.

Stadium berkapasiti 74,800 dipenuhi penyokong Colombia dan aksi bagaikan berlangsung di Bogota dengan ‘lautan kuning’ dan hanya sekelompok kecil penyokong Uruguay kelihatan.

Colombia bermula baik dengan pemain sayap Liverpool, Luis Diaz mendapat ruang sebelum melakukan hantaran namun tandukan Munoz tersasar.

Uruguay memberikan ancaman menerusi serangan balas pantas dan Darwin Nunez turut terlepas peluang untuk memecah kebuntuan.

Gol tunggal perlawanan dihasilkan pada minit ke-39 selepas Lerma melonjak tinggi mengatasi Jose Maria Gimenez untuk menanduk masuk sepakan sudut James Rodriguez.

Ia adalah umpanan gol keenam dilakar Rodriguez pada Copa America kali ini dan bekas pemain tengah Real Madrid itu memecahkan rekod bantuan gol terbanyak dalam satu edisi Copa America yang dilakukan Lionel Messi pada 2021.

Keraian kemenangan itu bagaimanapun dicemari dengan insiden buruk di tempat duduk penyokong dan insiden itu seharusnya diambil berat oleh CONMEBOL menjelang aksi final yang pasti menarik ramai penyokong Argentina dan Colombia. – AFP,BH Online –

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here