PUCHONG: Penyanyi, Shila Amzah memaklumkan dia dan suaminya, Ubai merancang untuk berhijrah ke China bersama anak-anak pada penghujung tahun hadapan jika segala perancangan kerjaya seninya di negara itu berjalan lancar.
Memetik laporan Harian Metro, Shila atau nama sebenarnya, Nurshahila Amir Amzah, 36, berkata dia mempertimbangkan perkara itu kerana kerjaya seninya semakin berkembang di negara berkenaan.
“Saya dan Ubai memang ada terfikir mengenai perkara itu. Sasaran kami, kalau segala-galanya berjalan lancar dan berjaya capai apa yang dirancang, mungkin saya tidak menolak untuk berhijrah semula ke China.
“Saya juga bakal menandatangani satu lagi kontrak (kerjaya seni) tapi belum boleh dedahkan tempoh atau butirannya. Apa yang boleh saya katakan, kontrak itu membabitkan tempoh yang agak lama. Kalau kami ulang-alik dari Malaysia dan China, penat juga.
“Kami juga bercadang untuk membawa anak-anak sekali. Sekarang ini setiap kali saya ke sana, saya perlu tinggalkan mereka selama tiga atau empat hari bersama ibu dan bapa tiri. Bila balik ke Malaysia pula, hanya sempat bersama anak-anak selama dua atau tiga hari,” katanya.
Shila berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Konsert Shila Amzah KITA: 25 Tahun Bersama, di sini, semalam.
Ditanya sama ada penghijrahan itu kerana bakat nyanyiannya lebih dihargai di China, kata penyanyi lagu Memori Tercipta itu, dia hanya mengikut ke mana rezeki yang ditentukan Tuhan buatnya dan keluarga.
“Saya pernah tinggal di China dari 2012 selama lebih kurang lapan tahun. Selepas itu, saya berpindah semula ke Malaysia dan kemudian kita berdepan pandemik Covid-19. Pada waktu itu, saya rasa rezeki tak ada lagi.
“Sekarang ini bukan soal siapa yang lebih menghargai bakat saya. Bagi saya, di mana ada rezeki, di situlah saya akan pergi,” katanya.
Pada masa sama, kata Shila, penghijrahan ke China bukan bermaksud dia sudah meninggalkan kerjaya nyanyian di Malaysia.
“Saya tetap tidak melupakan peminat di Malaysia. Sebab itulah saya masih menghasilkan album Melayu dan mengadakan konsert di sini.
“Saya juga akan cuba mencari keseimbangan antara kerjaya seni di China dan Malaysia,” katanya. – HMetro Online –
IMedikel TV






