Home Buletin Semasa RAMPASAN RM4.2 JUTA: PTG KELANTAN GEMPUR LOMBONG EMAS HARAM, TIGA WARGA ASING...

RAMPASAN RM4.2 JUTA: PTG KELANTAN GEMPUR LOMBONG EMAS HARAM, TIGA WARGA ASING DITAHAN

24
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Kelantan merampas pelbagai jentera dan peralatan perlombongan emas haram bernilai dianggarkan RM4.2 juta, selain menahan tiga warga asing dalam operasi penguatkuasaan bersepadu di Galas, Gua Musang pada Isnin lalu.

Operasi yang diketuai PTG Negeri Kelantan dengan kerjasama beberapa agensi penguat kuasa itu dilaksanakan bagi membanteras kegiatan perlombongan emas yang disyaki dijalankan secara haram.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan dalam kenyataan media memaklumkan, rampasan membabitkan dua jengkaut, dua jentolak, tiga lori, sebuah dumper, sebuah generator elektrik, sebuah palong besi serta 20 unit karpet yang dipercayai digunakan bagi menjalankan kegiatan tersebut

“Saya memberi amaran keras kepada mana-mana pihak yang masih menjalankan aktiviti perlombongan emas tanpa lesen atau kelulusan yang sah supaya menghentikan operasi mereka dengan serta-merta.

“Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi terhadap sebarang pencerobohan dan eksploitasi sumber mineral negeri secara haram.

“Saya juga ingin menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan tidak hanya tertumpu kepada individu yang ditahan di lokasi kejadian,”katanya dalam kenyataan hari ini. 

Katanya, siasatan tidak hanya tertumpu kepada tiga individu yang ditahan di lokasi kejadian, sebaliknya akan diperluaskan bagi mengenal pasti individu tempatan yang dipercayai menjadi dalang, pemodal, penganjur, orang tengah, penyedia jentera atau mana-mana pihak yang bersubahat serta memperoleh manfaat daripada kegiatan perlombongan emas haram.

“Sekiranya disabitkan dengan kesalahan, tindakan undang-undang akan diambil tanpa mengira kedudukan atau pengaruh,”tegasnya.

Beliau berkata, sebagai tindakan susulan, Kerajaan Negeri akan membuka kertas siasatan dan menjalankan siasatan menyeluruh meliputi pemeriksaan di lapangan, pengumpulan bahan bukti serta pemanggilan saksi sebelum pendakwaan diteruskan mengikut peruntukan Enakmen Mineral (Kelantan) 2001 dan undang-undang berkaitan.

Dalam pada itu, beliau berkata Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh operasi penguatkuasaan secara bersepadu bersama PTG, Bahagian Penguatkuasaan Negeri Kelantan (BPNK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) serta agensi berkaitan bagi membanteras kegiatan perlombongan haram sehingga ke akar umbi.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan perlombongan emas haram turut diseru supaya menyalurkannya kepada pihak berkuasa.

“Kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan khazanah mineral negeri terus dipelihara dan diurus mengikut lunas undang-undang demi kepentingan rakyat dan generasi akan datang,”katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here