Home Luar Negara LEBIH 500 DIKHUATIRI MAUT SELEPAS BOT KARAM DI PERAIRAN MYANMAR – PBB 

LEBIH 500 DIKHUATIRI MAUT SELEPAS BOT KARAM DI PERAIRAN MYANMAR – PBB 

27
0

BANGKOK: Dua bot yang membawa lebih 500 penumpang dipercayai karam di luar pesisir Myanmar dalam beberapa hari kebelakangan ini, menurut agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini.

Memetik laporan Reuters menerusi Berita Harian, tragedi berlaku ketika pelarian dari negara yang dilanda konflik itu terus menempuh perjalanan laut berbahaya bagi mencari perlindungan dan peluang hidup lebih baik.

“Menurut maklumat awal, kedua-dua bot itu berlepas dari Negeri Rakhine, Myanmar pada penghujung Jun dengan membawa kebanyakan penumpang etnik Rohingya.

“Ini termasuk sebahagian yang dipercayai datang dari kem pelarian di Cox’s Bazar, Bangladesh,” menurut kenyataan bersama Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM) dan Agensi Pelarian PBB (UNHCR).

Kenyataan itu memaklumkan lebih 500 penumpang dikhuatiri terkorban.

“Walaupun kes dan jumlah korban itu masih belum disahkan secara rasmi, UNHCR dan IOM amat bimbang terhadap kemungkinan berlakunya kehilangan nyawa dalam jumlah yang amat besar,” menurut kenyataan itu.

Sejak beberapa tahun lalu, anggota komuniti minoriti Islam Rohingya di Myanmar mempertaruhkan nyawa menaiki bot kayu yang uzur, didorong oleh keganasan di tanah air serta keadaan hidup yang serba daif di kem pelarian yang sesak di Bangladesh.

Mereka berharap dapat mencari perlindungan dan kehidupan lebih baik di negara seperti Malaysia, Indonesia atau Thailand.

Menurut agensi PBB itu, bot pertama yang membawa kira-kira 250 penumpang terputus hubungan sejurus belayar, manakala bot kedua yang membawa kira-kira 280 penumpang dipercayai karam di perairan Ayeyarwady, Myanmar pada 8 Julai.

“Perjalanan ini dilakukan di luar musim pelayaran biasa, ketika keadaan laut lazimnya lebih berbahaya,” menurut kenyataan itu.

Agensi berkenaan turut memaklumkan hampir 300 individu dilaporkan hilang atau maut di Laut Andaman dan Teluk Benggala sepanjang tahun ini, termasuk pelarian Rohingya dan warga Bangladesh. – REUTERS, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here