Home Sukan SENTUHAN ISKANDAR UBAH SKUAD KEBANGSAAN – LING CHING

SENTUHAN ISKANDAR UBAH SKUAD KEBANGSAAN – LING CHING

172
0

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan wanita negara, Wong Ling Ching mengakui sentuhan ketua jurulatih baharu, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, mula mengubah wajah skuad kebangsaan apabila pendekatan lebih agresif dan berintensiti tinggi menyuntik semangat baharu dalam pasukan.

Memetik laporan Harian Metro, Iskandar yang memulakan tugas bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada 1 Oktober lalu menekankan mentaliti ‘pejuang’ dalam setiap sesi latihan, sesuatu yang menurut Ling Ching menjadi pemangkin kebangkitan mereka.

Ling Ching yang kini menghuni ranking ke-40 dunia berkata, perubahan itu bukan saja dirasai olehnya dan K Letshanaa, malah keseluruhan barisan perseorangan wanita negara.

“Bukan saya dan Letshanaa saja, seluruh pasukan menunjukkan peningkatan. Suasana latihan sekarang lebih kompetitif dan kualitinya memang berbeza.

“Jurulatih Iskandar memang seorang ‘pejuang’. Bila beliau sendiri tunjuk semangat begitu, kami sebagai pemain kena ikut. Itu yang buat kami lebih bersemangat,” katanya.

Sentuhan Iskandar mula membuahkan hasil apabila Ling Ching mara ke separuh akhir Masters Thailand bulan lalu, manakala Letshanaa turut mencipta pencapaian terbaik peribadi dengan melangkah ke separuh akhir kejohanan bertaraf Super 500 di Masters Indonesia.

Lebih menarik, Letshanaa yang berada di ranking ke-38 dunia mencipta kejutan apabila menyingkirkan pemain ranking ke-11 dunia dari Kanada, Michelle Li di pusingan kedua.

Bagaimanapun, Ling Ching tidak berselindung mengakui prestasinya di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) di Qingdao, China, masih belum memuaskan hati.

“Saya akui belum capai tahap yang saya mahukan. Sekarang saya banyak belajar perkara baharu dan mungkin asas permainan sedikit terjejas, jadi konsistensi itu yang perlu diperbaiki.

“Jurulatih pun pesan supaya saya fokus semula kepada konsistensi,” katanya.

Ling Ching dijadual beraksi di Terbuka Jerman (24 Februari-1 Mac), diikuti Terbuka Switzerland (10–15 Mac) dan Masters Orleans (17-22 Mac) dalam usaha meneruskan momentum peningkatan prestasi. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here