Kuala Lumpur : Pelakon juga pengacara, Shamsul Ghau Ghau, 58, memohon doa ramai agar dia kembali sihat sepenuhnya serta dapat mengaji dengan baik dan mengingati semula ayat-ayat Al-Quran seperti Surah Ar Rahman.
Memetik laporan Harian Metro, Shamsul berkata, dia ketika ini mengalami masalah mengingati termasuk percakapan yang kurang lancar akibat strok atau angin ahmar hingga mengalami darah beku di kepala serta menjalani pembedahan.
“Keadaan kesihatan saya sekarang, Alhamdulillah semakin baik selepas menjalani pembedahan pada 24 Januari lalu. Fizikal saya pun okay, cuma untuk memori saya ada masalah mengingat. Tidak semua perkara saya boleh ingat.
“Kini keupayaan ingatan memori saya agak terhad. Saya tidak lupa semua benda, tetapi bila nak ingat itu kena ambil masa. Jadi, saya mohon doa ramai agar Allah memulihkan ingatan saya terutama pada ayat-ayat Al-Quran.
“Apapun, Alhamdulillah saya tetap boleh membaca Al-Quran tetapi agak ‘struggle’ dari segi sebutan. Tak macam dulu lagi, saya boleh habiskan membaca empat atau lima muka surat, namun sekarang hanya satu muka surat sahaja.
“Itu yang kadang-kadang buat hati saya berasa sedih. Bagaimanapun, setiap hari saya berusaha membaca Al-Quran dengan baik untuk mengingati surah-surah dan melancarkan semula bacaan,” katanya kepada Harian Metro.
Shamsul atau nama sebenar, Shamsul Azahar Alidin ditemui di kediamannya di Bandar Baru Bangi baru-baru ini ketika menerima kunjungan anggota Senario.
Ujar Shamsul lagi, untuk percakapan yang kurang lancar itu semestinya dia memerlukan bantuan daripada isteri, Sharifah Azrinah Syed Ibrahim dan anak-anak untuk menyampaikan perkataan tertinggal.
“Berdasarkan pemeriksaan dengan doktor pakar di hospital, saya dimaklumkan insya-Allah boleh sihat semula tetapi perlukan masa serta semangat diri yang kuat untuk pulih. Saya pun kalau boleh nak kembali bekerja.
“Tetapi, buat masa ini kena berehat lagi dan saya ikut sahaja arahan doktor termasuk makan ubat yang perlu diambil. Apapun, sehingga sekarang untuk baca dan ingat Surah Ar Rahman, saya belum mampu lagi. Saya dah lupa.
“Bagaimanapun, saya masih terus berusaha dan yakin sampai masanya Allah akan pulih serta makbulkannya. Al-Quran adalah mukjizat dan saya akan terus membaca. Tidak lama lagi, Ramadan menjelma dan semoga dipermudahkan,” katanya.
Pada 24 Januari lalu, Shamsul dimasukkan ke Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS) Serdang dan selamat menjalani pembedahan membuang darah beku di salur darah utama otak kirinya pada hari yang sama.
Difahamkan untuk menjalani pembedahan membuang darah beku itu, Shamsul memerlukan kos sebanyak RM25,000 sebagai deposit pembedahan dan banyak pihak tampil membantu menghulurkan sumbangan.
Sebelum itu, dia yang sepatutnya terbabit penggambaran drama Kedai Kopi Melekit bersama Sheila Mambo mengadu kepada isteri tidak berada dalam keadaan baik dan dibawa ke HSAAS untuk pemeriksaan lanjut.
Dalam karier seni yang diceburi kira-kira tiga dekad, Shamsul mula aktif pada tahun 1994 selepas dia berjaya dinobatkan sebagai juara Sinaran Pasport Kegemilangan musim pertama terbitan TV3. – HMetro Online –
IMedikel TV






