Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Demi memenuhi permintaan pelanggan, seorang pengusaha gula-gula manisan atau ‘coklat nisey’ di sini, membeli sebuah alat teknologi berbentuk ‘hard candy forming machine’ bagi memudahkan proses pembuatan manisan tersebut.
Namun, nasib tidak menyebelahi Roziah Hussein, 59, apabila mesin yang berharga puluhan ribu ringgit itu tidak dapat menghasilkan bentuk dan rasa coklat nisey yang memuaskan hatinya.
“Saya agak kesal kerana dengan menggunakan mesin tersebut, saiz tak sesuai ia jadi terlampau kecil, coklat itu ada kacang apabila ada kacang jadi hancur tak boleh guna, ada satu atau dua biji itu rasanya macam minyak silinder.
“Apabila rasa minyak kita nak bagi orang makan macam mana kan, bau dan rasa dia memang sangat berbeza,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Taman Desa Kemuming, Padang Tembak, di sini, semalam.

Katanya, tujuan dia membeli mesin tersebut berikutan tidak menang tangan untuk membuat gula-gula berkenaan memandangkan permintaan pelanggan yang tinggi daripada peminat gula-gula manisan itu.
Dia juga dikenali sebagai Kak Yah, mengusahakan perusahaan kecil dengan kesabaran yang tinggi dan dibantu oleh anak perempuan kelimanya, Ros Amira Romli, 28.

“Satu hari Kak Yah masak waktu pagi dan boleh siap dalam 4000 biji tapi sekarang ini permintaan coklat tinggi, Kak Yah terpaksa buat dua kali pada jam 3.00 petang Kak Yah kena masak pula coklat.
“Coklat ini Kak Yah jual dengan harga RM5 satu plastik, ada 40 biji tapi untuk harga borong Kak Yah bagi dengan harga RM180 untuk 50 paket,” katanya.

Ibu kepada enam anak tersebut berkata bahan asas yang digunakan untuk membuat gula-gula itu adalah gula melaka, kacang tanah, santan, gandum dan sedikit garam.
“Yang banyak guna ialah gandum sebab coklat nisey ini selepas kita masak, kita kena buat telaga gandum untuk sejuk, kemudian nak gelek pun kena ada gandum supaya tidak melekat pada jari, kalau bungkus pun kena ada gandum supaya tidak lekat di kertas tapi jangan risau gandum itu Kak Yah dah goreng,” katanya.

Tambahnya, proses untuk menyiapkan gula-gula mengambil masa hampir lima jam malah sekiranya lambat air gula kelapa yang diproses akan menjadi keras dan sukar dibentuk.
Roziah berkata, bentuk gula-gula itu dipotong menggunakan cekati dan diikuti pembungkusannya menggunakan kertas wau berwarna warni.

Katanya, gula-gula manisan itu boleh didapati di Pasar Siti Khadijah.
IMedikel TV






