Home Hiburan ROSYAM NOR GERUN PERTAMA KALI BERLAKON DENGAN RAHIM RAZALI

ROSYAM NOR GERUN PERTAMA KALI BERLAKON DENGAN RAHIM RAZALI

223
0

KUALA LUMPUR: Bintang ‘otai’, Datuk Rosyam Nor, 57, menyifatkan tanggapan dirinya tegas dan garang di set penggambaran sekadar buah mulut orang.

Memetik laporan menerusi berita harian,Hakikatnya, Rosyam atau nama sebenar, Mohamed Nor Shamsuddin mengakui dirinya mudah bekerja dengan sesiapa sahaja. Namun, kata Rosyam, ‘ketakutan’ dalam kalangan pelakon baharu timbul daripada sikap hormat kepada dirinya sebagai aktor senior.

“Mungkin mereka (pelakon baharu) banyak dengar cerita daripada orang lain. Saya di set penggambaran cerewet tetapi sebenarnya sangat mudah dan akhirnya tahu saya siapa.

“Sudah tentu masa mula-mula berlakon dengan Datuk Rahim Razali, saya ‘goyang’. Malam sebelum ‘shooting’, saya tidak boleh tidur. Jadi, perkara sama terjadi kepada semua orang.

“Itu menampakkan mereka ada hormat dengan orang yang lebih lama atau senior. Ketakutan mereka itu bukan sebab takut saya garang atau tidak, tetapi takut untuk menjayakan penggambaran dengan baik.

“Jadi, di situlah saya datang untuk bekerjasama dengan mereka sampailah kami semua boleh berikan lakonan terbaik,” katanya ditemui pada sesi tayangan perdana dan sidang media drama terbaharu, X-Change di TGV Sunway Velocity Mall di sini, baru-baru ini.

Mengulas cabaran bekerjasama dengan bakat baharu, Rosyam tidak berdepan masalah kerana semua aktor sudah tahu apa yang perlu dilakukan selepas mendapat pendedahan daripada kelas lakonan.

“Untuk mencari keserasian dengan pelakon baharu tidaklah mencabar sebab kadang-kadang mereka sudah pergi ke kelas lakonan, malah ada antara mereka sudah berkenalan.

“Bila pergi kelas lakonan, kebanyakannya sudah tahu bagaimana watak atau karakter yang perlu dibawa,” katanya.

Bintang filem Castello ini mengakui menyertai kelas lakonan supaya dapat memperbaiki kekurangan dalam diri, biarpun memulakan kerjaya lakonan sejak 1986 menerusi filem Gila-Gila Remaja.

“Tidak semestinya apabila sudah senior dalam bidang ini, kita boleh nampak semua. Tetapi, apabila masuk kelas lakonan, kita boleh tahu apa pandangan orang terhadap watak yang akan dibawa.

“Kalau pandangan yang mengajar itu lebih baik, maka saya boleh ambil saranannya. Saya tidak boleh sombong dan rasa diri sudah senior.

“Kelas lakonan itu adalah proses kita berguru, tidak kira yang mengajar itu tua atau muda daripada saya. Ilmu itu harus dicari sampai bila-bila. Disebabkan itu, saya tiada masalah untuk masuk kelas. Saya tidak pernah ikuti kelas lakonan. Jadi, ada beberapa perkara yang saya tidak tahu,” katanya.

Ditanya mengenai ciri-ciri terbaik yang perlu ada pada diri pelakon, Rosyam berkata, nilai karismatik menjadi keutamaan.

“Pelakon itu perlu ada karisma kerana itu yang membuatkan seorang pelakon kelihatan tampan. Bukan wajah ‘jambu’ itu yang buat seseorang itu tampan.

“Pelakon mesti ada karisma. Sesiapa yang ada karisma dan boleh bawa watak dengan baik, mereka akan tampak tampan. Tetapi, kalau dia memang betul-betul tampan kemudian ada karisma lagi bagus,” katanya.-BH ONLINE-

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here