Home Luar Negara ROMPAKAN MUZIUM LOUVRE: 2 SUSPEK DITAHAN, SEORANG DARIPADANYA MAHU KE ALGERIA

ROMPAKAN MUZIUM LOUVRE: 2 SUSPEK DITAHAN, SEORANG DARIPADANYA MAHU KE ALGERIA

340
0

PARIS: Pihak berkuasa Perancis pada semalam berkata, ia sudah menahan dua suspek dipercayai terbabit dalam rompakan barang kemas diraja bernilai tinggi dari Muzium Louvre.

Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, kejadian pada 19 Oktober lalu itu menyaksikan perompak melarikan barang kemas dianggarkan bernilai kira-kira AS$102 juta (kira-kira RM482 juta) hanya dalam tempoh beberapa minit pada waktu siang.

Menurut sumber, kedua-dua suspek berusia 30-an dari Seine-Saint-Denis itu sudah dikenal pasti polis kerana sering terbabit dalam kes kecurian.

Pendakwa Raya Paris, Laure Beccuau mengesahkan tangkapan dibuat malam Sabtu lalu, dengan seorang suspek ditahan di Lapangan Terbang Paris-Charles de Gaulle ketika cuba menaiki pesawat ke Algeria.

Suspek kedua ditahan tidak lama kemudian di Paris. Mereka direman selama 96 jam bagi membantu siasatan berhubung kes kecurian terancang dan konspirasi jenayah.

Bagaimanapun, Beccuau kesal kerana pendedahan awam mengenai tangkapan itu “hanya boleh menghalang usaha 100 penyiasat” yang digerakkan untuk memburu barang kemas dan pelaku lain.

Dalam rompakan itu, suspek menggunakan tangga boleh laras daripada trak pengangkut barang yang dicuri sebelum memecah masuk ke galeri menggunakan peralatan memotong.

Mereka berjaya mencuri lapan barang termasuk kalung milik Napoleon Bonaparte tetapi menjatuhkan mahkota milik Maharani Eugenie ketika melarikan diri menaiki skuter.

Siasatan diperkukuh melalui kamera keselamatan serta penemuan sampel ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan cap jari pada barangan yang ditinggalkan perompak termasuk sarung tangan dan penunu hembus.

Susulan kejadian itu, Pengarah Muzium Louvre mengakui perompak mengeksploitasi kelemahan dalam sistem pengawasan di dinding luar muzium berkenaan.

Menteri Dalam Negeri, Laurent Nunez pula menyuarakan kebimbangan bahawa baki barang kemas yang belum ditemui mungkin dipecahkan atau dileburkan.

Katanya, rompakan itu dipercayai dilakukan kumpulan jenayah terancang dan barang curi berkemungkinan disembunyikan di luar negara. – AFP, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here