Kota Bharu, KELANTAN: PAS mendakwa pentadbirannya di Kelantan selama 33 tahun bersih daripada isu rasuah atau pecah amanah walaupun parti itu dilabel sebagai tidak tahu memerintah berikutan dasar membangun bersama Islam.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata pencapaian itu sepatutnya dibanggakan kerana ia adalah nilai sebenar yang perlu ada dalam sesebuah kerajaan dan bukannya hanya pembangunan semata-mata.
Katanya, Kelantan mementingkan agama dan rakyat menyokong PAS kerana mahu lihat Islam terus gah dan mendakwa perkara itu tidak boleh dilaksanakan oleh kerajaan hari ini.
“Walaupun kita digelar ‘tok lebai’ tetapi banyak dasar pemerintahan kita yang ditiru orang luar begitu juga perubahan yang banyak dilakukan semasa zaman kepimpinan Tok Guru Nik Abdul Aziz dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob,” dakwanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Jelajah Ceramah Pakat Pertahan di Pekarangan Pasar Tok Guru, Cabang Tiga, Pengkalan Chepa, di sini, malam tadi.
Mohd Amar yang juga Naib Presiden PAS turut mempersoalkan apa yang boleh dilakukan oleh Pakatan Harapan (PH) jika Kelantan diserahkan di bawah pimpinan parti berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
“Buktinya, selama enam bulan mereka memerintah kerajaan Pusat, namun dilihat masih tidak mempunyai hala tuju. Ada yang mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah antara Menteri Kewangan yang terbaik tetapi sehingga hari ini tiada hasil dilihat.
“Dalam tempoh masa pemerintahannya, masalah ekonomi negara masih juga tidak diselesaikan malah harga barangan juga tidak turun begitu juga dengan nilai mata wang negara yang terus merosot.
“Pengundi ada hak daripada segi undang-undang untuk memilih parti atau menukar kerajaan, tetapi sebagai orang Islam yang beriman perlu ada pertimbangan supaya kepimpinan yang dipilih boleh memberi manfaat kepada bangsa agama dan negara,” katanya.
Sumber: BH Online
Imedikel TV






