Manchester: Pengendali Manchester United, Michael Carrick memberi isyarat yang Marcus Rashford mungkin akan membarisi kesebelasan utama menentang Manchester City pada aksi Liga Perdana Inggeris, esok.
Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, The Red Devils kembali ke landasan kemenangan selepas menewaskan pendatang baharu dari Azerbaijan, Sabah 4-0.
Rashford berada di bangku simpanan selepas pulih daripada kecederaan otot ringan ketika menentang Everton, namun pemain England itu tidak diturunkan walaupun seminit dalam kemenangan berkenaan.
Carrick mendedahkan aksi menentang Sabah menjadi peluang terbaik untuk memberi lebih banyak minit permainan kepada Benjamin Sesko supaya penyerang itu dapat mencapai tahap kecergasan terbaik musim ini.
Pengendali itu turut mengakui ia bagus untuk memastikan Rashford kekal ‘segar dan bersedia’ menjelang perlawanan hujung minggu ini.
“Sedikit sebanyak, ya, dan kami juga cuba berkongsi beban permainan mengikut keadaan.
“Kami mempunyai pilihan yang baik, jadi kami cuba memastikan semua pemain kekal segar, tetapi pada masa sama Ben (Sesko) boleh mendapat minit permainan yang baik malam ini (menentang Sabah) dan membantunya mendapatkan rentak.
“Sentiasa ada sedikit cabaran untuk memastikan perkara itu dilakukan dengan betul, tetapi bagus untuk memastikan Marcus kekal segar dan bersedia untuk hujung minggu ini,” kata Carrick.
Rashford sudah menjaringkan tujuh gol dalam 23 penampilan menentang City, namun rekod terbarunya amat memberangsangkan apabila dia menjaringkan gol dalam tiga daripada empat aksi liga terakhir sebagai pemain utama.
Matheus Cunha beraksi di sayap kiri ketika menentang Sabah, manakala Sesko mengetuai jentera serangan.
Namun, berdasarkan kenyataan Carrick, Sesko berkemungkinan kembali ke bangku simpanan.
Sesko sekali lagi menjaringkan gol penting buat United semalam, tetapi Carrick mungkin berasakan penyerang itu memerlukan lebih banyak minit permainan sebelum menjadi pilihan utama yang tidak dipertikaikan.
Pemain Slovenia itu juga perlu memperbaiki aspek hantaran dan kekuatan fizikalnya di bahagian serangan.
Dia hanya mencatat lima hantaran berjaya ketika menentang Sabah selain memenangi empat daripada 11 perebutan bola.
Justeru, tidak mengejutkan jika Cunha kembali mengisi posisi penyerang tengah di Old Trafford pada Ahad ini dengan Sesko diketepikan.
Rashford, yang disifatkan sebagai penyerang ‘bertaraf dunia’ oleh laman web rasmi Barcelona, dilihat berpeluang besar untuk mengisi sayap kiri selepas direhatkan di bangku simpanan ketika menentang Sabah.– AFP, HMetro Online –
IMedikel TV






