Paris: Marseille terus berdepan permulaan buruk dalam saingan Ligue 1 apabila tewas 0-1 kepada Rennes untuk kekalahan ketiga berturut-turut, awal pagi tadi.
Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, Gol Adrien Thomasson pada babak kedua memastikan kemenangan Rennes di laman sendiri, sekali gus melonjakkan mereka ke puncak liga.
Selepas kedua-dua pasukan gagal menghasilkan banyak peluang pada separuh masa pertama, Thomasson memecah kebuntuan pada minit ke-52.
Tonggak tengah berusia 32 tahun itu menyudahkan tandukan pemain gantian Mousa Tamari yang melintasi gawang untuk menjaringkan gol pertamanya sejak menyertai Rennes pada Mei lalu selepas kontraknya bersama Lens tamat.
Thomasson hampir menggandakan kelebihan Rennes 20 minit kemudian, namun percubaannya terkena palang sebelum bola melantun keluar dan menyelamatkan Marseille daripada ketinggalan lebih besar.
Kekalahan itu meneruskan permulaan suram Marseille dalam saingan liga musim ini.
Selepas membelasah Strasbourg 4-0 pada aksi pembukaan, Marseille kemudian tewas 0-2 kepada Monaco sebelum dikejutkan Paris FC 2-3 minggu lalu.
Rennes kini mengumpul 10 mata daripada empat perlawanan untuk menduduki tangga teratas Ligue 1 buat sementara waktu, satu mata mengatasi Monaco yang akan bertandang ke Strasbourg, malam ini.
Juara bertahan Paris Saint Germain (PSG) pula kini berada di tangga ke-13 dengan dua mata daripada tiga perlawanan.
PSG akan berkunjung ke Brest, Isnin ini dan kemenangan mampu melonjakkan mereka melepasi Marseille yang kini menghuni tangga ke-11 dengan tiga mata.– AFP, HMetro.
IMedikel TV






