Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
Kerap rasa berdebar atau palpitasi sering menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat, terutama apabila dikaitkan dengan masalah kesihatan seperti kolesterol tinggi.
Namun, adakah benar ia berpunca daripada kolesterol?
Tahukah anda, rasa berdebar itu tidak semestinya disebabkan oleh kolesterol tinggi, tetapi adakalanya kolesterol tinggi boleh menyumbang kepada faktor tersebut.
Ini kerana kolesterol yang terkumpul dalam saluran darah boleh menyempitkan arteri, sekali gus menjejaskan aliran darah ke jantung yang boleh menyebabkan rasa berdebar.
Selain itu, antara punca lain rasa berdebar disebabkan kolesterol tinggi ialah:
1.Tekanan darah tinggi:
Kolesterol tinggi sering dikaitkan dengan hipertensi. Tekanan darah yang meningkat memberikan beban tambahan kepada jantung, menyebabkan rasa berdebar.
2.Gangguan irama jantung (Aritmia):
Kolesterol tinggi boleh menyumbang kepada kerosakan saluran darah di jantung, termasuk arteri koronari. Ini meningkatkan risiko aritmia, iaitu keadaan di mana jantung berdegup tidak normal, sama ada terlalu cepat, terlalu perlahan, atau tidak sekata.
3.Kurang oksigen ke jantung:
Plak kolesterol yang menyempitkan saluran darah boleh mengurangkan aliran darah ke jantung, mengakibatkan iskemia (kekurangan oksigen). Jantung yang tertekan akibat kekurangan oksigen boleh menyebabkan debaran.
4.Keradangan:
Kolesterol tinggi boleh mencetuskan keradangan dalam dinding saluran darah. Ini merangsang sistem saraf yang boleh meningkatkan kadar denyutan jantung dan menyebabkan rasa berdebar.
Mereka yang mengalami masalah ini perlu menjaga pemakanan, dan elakkan mengambil makanan lemak tepu, bergoreng dan tingkatkan pengambilan serat.
Selain daripada menjaga pemakanan, mereka juga perlu mengamalkan senaman sekurang-kurangnya 30 minit dalam sehari.
Bagaimanapun, penting bagi mereka untuk mendapatkan nasihat doktor untuk mengawal paras kolesterol.
IMedikel TV






