Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
JERANTUT: Pusat Pemprosesan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Jerantut memproses kira-kira tiga hingga lima tan durian sehari bagi menghasilkan 300 hingga 500 kilogram (kg) pes durian setiap hari.
Jumlah berkenaan meletakkan pusat terbabit sebagai pengeluar pes termasuk tempoyak yang terbesar di negara ini untuk pasaran tempatan dan luar Pahang.
Pengarah Kanan Bahagian Pemasaran Segar dan Intervensi Ibu Pejabat FAMA, Sarman Sidno berkata, pengeluaran durian yang banyak di daerah ini mendorong usaha menghasilkan pes dan tempoyak dilakukan dalam jumlah yang bertambah dua hingga tiga kali ganda berbanding sebelum ini.

“Kini terdapat lima pusat pemprosesan durian milik FAMA seluruh negara, pengeluaran ‘raja buah’ di Pahang terutama di Jerantut dan Bentong kini berada dikemuncak hingga menyebabkan berlakunya kejatuhan harga yang agak ketara,”katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan ke Pusat Pemprosesan FAMA Jerantut, di sini semalam.
Hadir sama Timbalan Pengarah FAMA Pahang (Sekuriti Makanan dan Operasi) Mohd Azrul Abd Aziz.
Katanya, pusat pemprosesan FAMA Jerantut kini menerima 10 hingga 15 tan durian kampung dan klon sehari yang dibekalkan oleh lebih 50 pekebun daripada beberapa kawasan seperti Kampung Ulu Cheka, Kampung Damak dan Kampung Perlok.
“Kita kini terpaksa membuat belian durian secara harga lantai (RM2.70) bagi mengelak berlakunya lambakan seterusnya merugikan pekebun. Pekebun kini bertindak datang sendiri menghantar durian pagi dan petang.
“Daerah ini terkenal dengan durian kampung berbanding beberapa durian klon yang terkenal di negara ini seperti Musang King, D24, Duri Hitam, IOI dan Tangkai Panjang,” katanya.
Beliau menambah, sejak beroperasi bulan lalu Pusat Pemprosesan FAMA Jerantut telah menghasilkan lebih 70.57 tan pes dan tempoyak.
Produk hiliran itu dijual dengan harga antara RM25 hingga RM35 sekilogram. Mereka yang berminat dengan produk berkenaan boleh berhubung terus dengan FAMA Jerantut.
Sarman berkata, pengeluaran durian di Pahang terutama di Jerantut, Bentong da Raub dijangka berakhir pada September depan. Beberapa negeri seperti Pulau Pinang telah berakhir, Johor, Terengganu, Perak dan Kelantan kini dipenghujung musim.
“Saya difahamkan FAMA Pahang setiap minggu mengadakan kempen makan durian dengan aktiviti jualan buah bermusim dan agihan durian secara percuma di perkarangan pejabat FAMA Pahang dan beberapa pasar tani.
“Di Pusat Pemprosesan FAMA Jerantut aktiviti jualan buah bermusim dan agihan durian secara percuma dilakukan setiap hari termasuk Sabtu dan Ahad, pengemar durian termasuk manggis boleh mendapatkan mendapatkan dengan harga antara RM3 hingga RM10 sekilogram,” katanya.
IMedikel TV






