KUALA LUMPUR: Batuk berpanjangan selama enam bulan yang disangka biasa rupanya menjadi petanda pelawak veteran, Abon, 66, mengalami masalah jantung serius sehingga terpaksa dikejarkan ke hospital, baru-baru ini.
Memetik laporan Harian Metro, isterinya, Fauziah Muksin, 64, mendedahkan perkara itu selepas menyedari suaminya mengadu sesak dada ketika mereka sedang mengusahakan perniagaan produk sos di Ekspo Jabatan Warisan Negara Makanan Tradisi Malaysia di Ipoh, Perak yang berlangsung dari 25 hingga 29 Jun lalu.
Bercerita lanjut, Fauziah berkata, faktor cuaca panas selain keadaan Abon yang terlalu aktif berniaga menyumbang kepada rasa penat melampau sebelum dia diserang sakit dada pada 28 Jun lalu.
“Selepas waktu subuh, Abon mengadu yang dia sesak dada. Saya terus membawanya ke klinik panel dan hasil pemeriksaan elektrokardiogram (ECG) mendapati keadaan jantungnya kurang memuaskan.
“Pihak klinik kemudian merujuknya ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh dan Abon dimasukkan ke zon kecemasan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Menurut Fauziah, selepas dua jam pemeriksaan di HRPB, doktor mengesahkan Abon mengalami masalah jantung dan meminta pelawak itu untuk ditahan di hospital selama lima hingga enam hari bagi menjalani prosedur lanjut.
Bagaimanapun, Abon atau nama sebenarnya Sharizan Ahmad memilih untuk melakukan prosedur berkenaan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Kuala Lumpur.
“Sampai sahaja di HUKM, dia terus dimasukkan ke zon kuning pada malam Ahad (28 Jun).
“Jadi, doktor buat keputusan untuk melakukan prosedur angiogram pada hari Selasa iaitu 30 Jun.
“Hasil prosedur berkenaan, terdapat saluran tersumbat dan doktor terus melakukan prosedur untuk masukkan belon,” katanya.
Mengulas mengenai keadaan terkini Abon, Fauziah memaklumkan ini adalah kali pertama suaminya dikesan menghidap penyakit kronik itu memandangkan pemeriksaan kesihatan yang dilakukan setiap dua tahun sebelum ini tidak menunjukkan sebarang masalah.
Katanya, selain jantung, doktor kini turut memantau fungsi buah pinggang Abon yang dilaporkan berada dalam keadaan kurang memuaskan selepas pembedahan memasukkan belon berjalan dengan lancar.
“Alhamdulillah, setakat ini keadaannya sudah kembali stabil.
“Pihak doktor masih melakukan pemantauan di wad dan sekiranya keputusan ujian darah menunjukkan perkembangan positif, insyaAllah dia dibenarkan pulang esok atau lusa,” ujarnya.
Terdahulu, Abon memuat naik hantaran di Facebooknya tentang keadaannya yang dimasukkan ke HUKM setelah selesai menjalani pembedahan memasukkan belon. – HMetro Online –
IMedikel TV






