Home Politik POLITIK SOLO TAK PERNAH BERTAHAN: MUP SUKAR UBAH LANDSKAP POLITIK MALAYSIA

POLITIK SOLO TAK PERNAH BERTAHAN: MUP SUKAR UBAH LANDSKAP POLITIK MALAYSIA

6
0

Pengumuman hala tuju politik Datuk Seri Rafizi Ramli di Petaling Jaya pada Ahad lalu yang menyaksikan beliau bersama Nik Nazmi Nik Ahmad mengambil alih Malaysian United Party (MUP) dianggap oleh pihak tertentu sebagai satu episod penting dalam landskap politik negara pasca-PRU15.

Memetik laporan Berita harian, walaupun begitu, jika diteliti secara mendalam, pengumuman tersebut sebenarnya lebih menonjolkan percaturan perebutan kuasa politik berbanding tawaran penyelesaian konkrit terhadap cabaran ekonomi dan geopolitik yang sedang dihadapi negara.

Secara lebih khusus, langkah Rafizi ini memperlihatkan satu percubaan membina gerakan politik baharu yang sangat bergantung kepada kekuatan naratif peribadi dan idealisme tokoh, bukannya pembentukan konsensus politik yang luas. Dalam politik Malaysia yang bersifat majmuk, berlapis dan sangat bergantung kepada struktur gabungan, pendekatan seperti ini sememangnya berisiko tinggi.

Fokus Rafizi bina platform politik baharu

Secara keseluruhannya, inti utama ucapan Rafizi bukan berkisar kepada pelan ekonomi nasional, strategi menghadapi krisis global atau usaha memperkukuh kestabilan negara. Sebaliknya, fokus utama beliau ialah membina platform politik baharu yang bertujuan mencabar parti-parti sedia ada termasuk Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Malah beliau secara terbuka menyatakan bahawa MUP akan bergerak solo dan bersedia bertanding di mana-mana kerusi termasuk kerusi PH sendiri. Pendekatan ini memperlihatkan bahawa matlamat utama gerakan tersebut ialah membina semula pengaruh politik melalui pengambilalihan ruang kuasa baharu selepas kekalahan beliau dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Walaupun Rafizi cuba membawa naratif “kamikaze politik” demi generasi muda dan idealisme reformasi, realiti politik semasa menunjukkan bahawa tindakan tersebut berpotensi menyumbang kepada perpecahan politik yang lebih mendalam dalam blok pembangkang dan reformis.

Apa yang lebih menarik ialah bagaimana Rafizi cuba membina imej dirinya sebagai tokoh reformis rentas kaum yang mampu menyatukan seluruh rakyat Malaysia di bawah satu platform baharu. Dalam ucapan beliau dapat dilihat unsur romantisisme terhadap idea politik parti dominan pelbagai kaum ala Datuk Onn Jaafar yang cuba melangkaui sempadan tradisional politik Melayu dan parti-parti berasaskan komuniti.

Namun realiti politik Malaysia sangat berbeza daripada idealisme romantik tersebut. Sejarah politik negara menunjukkan bahawa hampir mustahil untuk mana-mana tokoh memerintah secara bersendirian tanpa bergantung kepada kerjasama gabungan besar dan kompromi politik antara pelbagai kelompok.

Sistem politik Malaysia dibina atas keseimbangan kuasa, rundingan antara parti, perkongsian pengaruh wilayah dan pengurusan sensitiviti kaum serta agama. Sebab itu hampir semua kerajaan yang berjaya bertahan lama dibentuk melalui gabungan besar dan bukannya kekuatan individu semata-mata.

Pada saat banyak pihak sedang bercakap mengenai kepentingan menyatukan rakyat dan mengekalkan kestabilan negara untuk menghadapi ketidaktentuan ekonomi dunia akibat krisis Teluk serta gangguan rantaian bekalan global, beliau pula memilih untuk membuka satu lagi medan pertarungan politik baharu. Dalam konteks ini, tindakan beliau dilihat lebih cenderung kepada usaha menjaga survival dan kepentingan politik sendiri berbanding membina kesatuan nasional.

Naratif bahawa semua parti sedia ada sudah gagal dan hanya platform baharu beliau mampu membawa perubahan juga berisiko mewujudkan budaya politik individualistik yang terlalu berpusat kepada personaliti tertentu. Politik demokrasi yang matang sepatutnya dibina atas pengukuhan institusi dan kerjasama strategik, bukannya pendekatan memecahkan kekuatan sedia ada setiap kali berlaku perbezaan dalaman.

Tambahan pula, politik Malaysia bukan sekadar pertandingan idea tetapi juga pertandingan struktur organisasi, kekuatan jentera, jaringan akar umbi dan kemampuan membina pakatan jangka panjang. Ramai tokoh sebelum ini mempunyai karisma besar serta pengaruh media yang kuat, namun akhirnya gagal kerana terlalu bergantung kepada populariti individu tanpa membina kesepaduan politik yang mapan.

Parti serpihan sukar bertahan lama

Dari sudut realiti politik pilihan raya pula, sejarah menunjukkan bahawa parti-parti serpihan kecil lazimnya sangat sukar untuk bertahan lama apatah lagi membina momentum nasional yang kukuh. Pengambilalihan MUP oleh Rafizi dan Nik Nazmi mengingatkan kepada banyak eksperimen politik terdahulu yang akhirnya gagal mendapat sokongan akar umbi secara meluas.

Malah beliau sendiri hanya berjaya membawa seorang sahaja bekas Menteri untuk bersama beliau, iaitu Nik Nazmi. Ini menunjukkan bahawa gerakan tersebut gagal mencetuskan gelombang besar seperti yang cuba digambarkan.

Keadaan ini jauh berbeza jika dibandingkan dengan pengalaman Parti Semangat 46 (S46) yang dipimpin oleh Tengku Razaleigh Hamzah pada 1989. Ketika itu, S46 bukan sahaja dipimpin oleh seorang tokoh nasional yang pernah menjadi Menteri Kewangan, malah ia turut disertai oleh ramai bekas Menteri dan bekas Timbalan Menteri, termasuk bekas Perdana Menteri.

Malah, S46 turut berjaya membentuk kerjasama politik yang besar melalui gabungan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dan Gagasan Rakyat (GR) bersama pelbagai parti pembangkang lain menjelang Pilihan Raya Umum 1990.

Namun begitu, walaupun mempunyai tokoh yang jauh lebih besar, jaringan politik lebih luas dan sokongan pimpinan yang lebih ramai berbanding gerakan Rafizi hari ini, S46 tetap gagal mengambil alih kuasa dan akhirnya terpaksa dibubarkan pada tahun 1996 selepas gagal mengekalkan momentum politiknya.

Hakikat bahawa S46 yang jauh lebih besar dan lebih tersusun pun akhirnya tidak mampu bertahan membuktikan bahawa politik Malaysia tidak mudah menerima eksperimen politik yang terlalu bergantung kepada sentimen tokoh. Pengundi akhirnya akan kembali kepada persoalan utama iaitu siapa yang benar-benar mempunyai kemampuan membentuk kerajaan stabil dan mengekalkan kerjasama jangka panjang.

Jika sebuah gerakan sebesar S46 pun akhirnya tidak mampu bertahan lama walaupun disokong ramai tokoh besar negara, maka adalah sukar untuk melihat bagaimana gerakan baharu Rafizi yang jauh lebih kecil, dengan sokongan pimpinan yang sangat terhad dan tanpa gelombang akar umbi yang jelas, mampu mencipta impak politik nasional yang besar.

Pembangkang juga berpecah

Mutakhir ini, trend pemecahan seperti ini sebenarnya turut berlaku dalam blok pembangkang lain. Sebelum ini, perpecahan dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) juga menyaksikan tokoh seperti Datuk Seri Hamzah Zainudin terpaksa bergerak dengan pendekatan tersendiri. Apabila terlalu banyak kumpulan kecil muncul dengan ego politik masing-masing, kesannya ialah undi pembangkang menjadi semakin berpecah dan sukar membentuk kekuatan dominan yang stabil.

Dalam sistem demokrasi pelbagai parti seperti Malaysia, kemenangan pilihan raya tidak hanya bergantung kepada retorik perubahan tetapi memerlukan kekuatan organisasi, jentera akar umbi, kestabilan gabungan dan keyakinan pengundi terhadap kemampuan mentadbir negara. Atas sebab itu, semakin banyak perpecahan berlaku, semakin sukar untuk mana-mana blok pembangkang membina keyakinan rakyat bahawa mereka mampu menawarkan kestabilan politik jangka panjang.

Kesimpulannya, langkah Rafizi mengambil alih MUP mungkin berjaya menarik perhatian segmen tertentu pengundi muda untuk sementara waktu, namun dari sudut strategi politik jangka panjang, ia lebih berpotensi melemahkan pembangkang berbanding menyatukannya. Politik Malaysia bukan medan yang membolehkan seseorang tokoh memerintah secara bersendirian hanya bersandarkan idealisme atau kekuatan personaliti.

Sejarah telah berkali-kali membuktikan bahawa sesiapa yang gagal memahami keperluan membina gabungan luas, kompromi strategik dan kesatuan politik akhirnya akan berdepan kesukaran untuk bertahan lama. Dalam konteks ini, impian Rafizi untuk muncul sebagai tokoh penyatu nasional melalui platform baharu mungkin kedengaran idealistik, tetapi realiti politik Malaysia jauh lebih kompleks daripada romantisisme politik yang cuba dibawanya. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here