Home Hiburan UPIN IPIN KARYA ANAK MALAYSIA

UPIN IPIN KARYA ANAK MALAYSIA

19
0

KUALA LUMPUR: Les’ Copaque Production menafikan dakwaan seorang animator dari Indonesia yang mendakwa siri animasi popular Upin & Ipin berasal dari negara itu.

Memetik laporan Berita Harian, pengasas dan Pengarah Urusan Les’ Copaque Production Sdn Bhd, Datuk Burhanuddin Md Radzi, menegaskan dakwaan kononnya hak cipta Upin & Ipin dibeli daripada pihak berkenaan adalah tidak benar sama sekali.

Menurut Burhanuddin, siri animasi yang mengisahkan telatah dua adik-beradik kembar itu sudah diterbitkan sejak 2007 dan dibangunkan sepenuhnya oleh tenaga kerja tempatan.

“Mengenai isu itu, hanya mereka sahaja yang bercakap dengan mendakwa animasi Upin & Ipin sudah dihasilkan lebih awal, kemudian kita ambil dan bawa balik.

“Bila pula? Sedangkan pada 2007 kita sudah keluarkan Upin & Ipin. Animasi ini memang kita yang buat, jadi tiada istilah mengambil hak atau meminjam.

“Malah, animasi ini 100 peratus dihasilkan anak Malaysia, tiada pun dari Indonesia,” katanya kepada BH Online. 

Sebelum ini, tercetus perdebatan dalam kalangan netizen Malaysia dan Indonesia susulan tular satu klip video yang mendakwa Upin & Ipin sebenarnya milik animator dari negara jiran itu.

Potongan video berkenaan dipercayai diambil daripada saluran YouTube milik seorang pempengaruh Indonesia.

Menerusi video itu, individu terbabit mendakwa sekumpulan animator muda dari Jakarta dan Bandung pernah menghasilkan karya animasi berkonsep sama dikenali sebagai Si Arifin pada 2008 sebelum Malaysia didakwa membeli lesen animasi terbabit.

Mengulas dakwaan mengenai penjualan lesen atau hak cipta Upin & Ipin kepada mana-mana pihak, Burhanuddin sekali lagi menafikan perkara itu dan menegaskan syarikatnya tidak mempunyai sebarang kaitan dengan individu terbabit.

“Kita tidak ada jual lesen dan perkara itu tidak pernah berlaku.

“Kami juga tiada apa-apa hubungan dengan individu berkenaan. Dia hanya buat cerita, mungkin untuk viral,” katanya.

Terdahulu, Les’ Copaque Production turut mengeluarkan kenyataan menerusi media sosial yang menegaskan Upin & Ipin adalah hak cipta dan karya asli milik syarikat berkenaan. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here