Home Politik MANDAT RAKYAT TIDAK AKAN DIKHIANATI – AHLI PARLIMEN AMPANG 

MANDAT RAKYAT TIDAK AKAN DIKHIANATI – AHLI PARLIMEN AMPANG 

7
0

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail menegaskan beliau tidak pernah dan tidak akan sesekali mengkhianati mandat rakyat Ampang.

Memetik laporan Berita Harian, beliau berkata, amanah yang diberikan oleh rakyat itulah yang terus dijunjung setiap hari di Parlimen, lapangan bersama masyarakat, dalam perbincangan dasar, mahupun ruang yang membolehkan suara rakyat Ampang dibawa dan diperjuangkan.

“Kerusi Parlimen Ampang bukan milik mana-mana individu atau kelompok.

“Kerusi ini adalah amanah rakyat. Selagi rakyat masih memberi kepercayaan, selagi itulah saya akan terus bekerja dan berkhidmat dengan penuh tanggungjawab, maruah dan integriti.

“Ampang memerlukan kestabilan, khidmat dan penyelesaian, bukan politik yang hanya menambah perpecahan dan keresahan,” katanya dalam satu hantaran di laman sosialnya, di sini, semalam. 

BH melaporkan, PKR akan membincangkan tindakan terhadap beberapa Ahli Parlimennya yang hadir pada program pengumuman hala tuju politik bekas Timbalan Presiden, Datuk Seri Rafizi Ramli dan bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, kelmarin. 

Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Fuziah Salleh, berkata perkara itu akan dibincangkan dalam Mesyuarat Biro Politik parti hari ini.

Ini susulan beberapa Ahli Parlimen PKR dilihat hadir dan bergambar bersama Rafizi dan Nik Nazmi ketika kedua-dua pemimpin itu mengumumkan keputusan keluar parti serta mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing.

Antara yang kelihatan hadir ialah, Wong Chen (Subang) , Datuk Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau), Rodziah Ismail (Ampang), Zahir Hassan (Wangsa Maju) dan Lee Chean Chung (Petaling Jaya).

Menjelaskan lagi, Rodziah berkata, beliau maklum mengenai kenyataan berhubung kedudukannya sebagai Ahli Parlimen Ampang.

“Saya memilih untuk memberi maklum balas secara tenang dan berhemah kerana pada hemat saya, rakyat hari ini semakin matang dalam menilai antara politik persepsi dan kerja sebenar yang dilakukan demi kepentingan mereka.

“Sejak awal pagi tadi, saya berada di lapangan meneruskan siri lawatan kerja selaku Naib Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Masyarakat Parlimen bagi meneliti pelbagai isu.

“Bagi saya, itulah amanah sebenar seorang wakil rakyat iaitu hadir, mendengar, meneliti dan membawa suara rakyat ke peringkat pembuat dasar.

“Politik tidak seharusnya hanya berkisar mengenai kenyataan media, persepsi dan percaturan dalaman semata-mata sedangkan rakyat sedang berdepan pelbagai cabaran kehidupan yang jauh lebih besar,” katanya.

Jelasnya, beliau tidak mudah tergugat dengan tuduhan atau label yang dilemparkan hanya kerana wujud perbezaan pandangan dan pendekatan dalam menanggapi sesuatu perkara.

“Dalam sebuah demokrasi yang matang, mendengar pandangan yang berbeza bukan suatu kesalahan.

“Kematangan politik menuntut kita untuk mengurus perbezaan dengan kebijaksanaan, bukan dengan ketakutan atau tuduhan melulu.

“Apa yang penting ketika ini ialah memastikan kestabilan politik negara terus dipelihara supaya tumpuan dapat diberikan kepada usaha memulihkan ekonomi, mengembalikan keyakinan serta memastikan kebajikan rakyat tidak terabai akibat ketegangan politik yang berpanjangan,” katanya. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here