Home Buletin Semasa PLSB SUNGAI GOLOK: “PMX TOLONG SELAMATKAN KAMPUNG KAMI”

PLSB SUNGAI GOLOK: “PMX TOLONG SELAMATKAN KAMPUNG KAMI”

324
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

RANTAU PANJANG: Penduduk dari 30 buah kampung di sini mengeluh dan merayu agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelamatkan kampung mereka yang terjejas teruk akibat banjir berulang di kawasan Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok.

Penghulu Tanpa Mukim Dun Gual Periok, Sabri Muhamad, berkata mereka berhimpun bagi mewakili lebih 20,000 penduduk bagi tujuan mendengar sendiri rintihan, aduan, dan pengalaman sebenar rakyat yang menanggung penderitaan sejak beberapa tahun akibat kegagalan sistem tebatan sedia ada.

“Kami mahu pihak berkenaan terutama Kerajaan Pusat di bawah kepimpinan Perdana Menteri, agar dapat mendengar keluhan rakyat di sini.

“Kami penduduk kampung memohon agar Perdana Menteri mempertimbangkan hasrat kami agar membuat satu saliran atau terusan sampai ke Tumpat,”katanya.

Katanya terdapat beberapa kampung yang terbabit sekiranya berlaku banjir khususnya di Kampung Lanchang, Rantau Panjang, Pasir Mas dan gugusan kampung sekitar Sungai Lanchang–Lemal.

“Sejak 2022, penduduk di kawasan ini berdepan banjir yang semakin buruk, air naik mencecah bumbung, banjir termenung berhari-hari, kehilangan rumah, kerosakan struktur, kerugian tanaman, serta tekanan psikologi dan ekonomi yang besar.

“Ramai penduduk memaklumkan bahawa banjir hari ini jauh lebih buruk berbanding sebelum projek tebatan dilaksanakan,”katanya.

Beliau berkata punca utama banjir adalah fenomena arus songsang (backflow) dari Sungai Golok yang kembali memasuki Sungai Lanchang Lemal apabila paras Sungai Golok berada pada tahap tinggi.

“Keadaan ini menyebabkan paras air meningkat mendadak dan melimpah ke kampung-kampung sekitarnya,”katanya.

Beliau berkata berdasarkan maklumat teknikal daripada kajian hidraulik serta dokumen rasmi Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok, kaedah mitigasi sedia ada termasuk pembinaan ban dan spillway tidak mencukupi serta tidak menyelesaikan punca utama banjir.

Sehubungan itu, katanya penduduk dengan jelas menuntut satu penyelesaian kekal dan menyeluruh, iaitu pembinanaa segera terusan pintas (bypass) Sungai Lanchang-Lemal-Sungai Alor Mengkuang.

“Berdasarkan dapatan kajian teknikal Bypass sepanjang kira-kira 14.2 km mampu mengalihkan aliran banjir terus ke Sungai Pengkalan Nangka dan seterusnya ke Laut China Selatan.

“Selain itu ia berupaya menghapuskan fenomena backflow, yang menjadi punca utama banjir besar dan banjir termenung.

“Bypass terbukti mampu menurunkan paras banjir antara 1.0 hingga 3.5 meter berdasarkan analisis empirik,”katanya.

Jelasnya enduduk dan kepimpinan setempat berpandangan bahawa tiada masa lagi untuk menangguhkan tindakan, memandangkan setiap kali musim tengkujuh berlaku, risiko kerosakan ban, kerugian ekonomi, serta keselamatan nyawa penduduk semakin meningkat.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here