Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KUALA LUMPUR: Masalah transaksi pembelian RON95 melalui inisiatif BUDI95 di sebuah stesen minyak di Pasir Gudang, semalam berpunca daripada masalah gangguan sambungan Wi-Fi di kawasan tersebut.
Petron Malaysia Refining and Marketing Bhd (Petron) dalam kenyataan di Facebook semalam memaklumkan insiden membabitkan seorang pelanggan berhubung kejadian itu adalah kes terpencil.
“Isu berkenaan berpunca daripada gangguan sambungan Wi-Fi di kawasan terbabit.
“Pelan kesinambungan perniagaan sudah diaktifkan bagi menangani situasi tersebut, selain bantuan turut ditawarkan kepada pelanggan yang terjejas.
“Bagi pelanggan yang menerima bantuan kami, transaksi diteruskan dengan harga subsidi RM1.99 seliter bagi yang layak,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan semua stesen lain beroperasi seperti biasa, dan pihaknya akan terus memastikan urusan pelanggan berjalan lancar.
Pelanggan yang mengalami sebarang isu boleh menghubungi Petron Care di 1300 228 211 atau emel ke petroncare@petron.com.my untuk mendapatkan bantuan.
Terdahulu, tular video melalui media sosial memaparkan seorang pelanggan mengalami gangguan transaksi ketika berurusan di stesen minyak Petron di Pasir Gudang.
IMedikel TV






