Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Seorang ahli perniagaan bergelar ‘Datuk John’ didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas dua pertuduhan memiliki barang kawalan minyak masak sebanyak 15,483 kilogram (kg) tanpa lesen sah, tiga tahun lalu.
Orang Kena Saman (OKS), Ahmad Nizamuddin Setapa, 28, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa memiliki barang kawalan iaitu minyak masak paket 1kg cap Belanga sebanyak 7,135 kg dalam keadaan syak munasabah di sebuah premis di Kampung Nibong Beris, Bachok, pada jam 4.40 petang, 22 November 2022.
Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa memiliki barang kawalan minyak masak paket 1kg cap Zhalily sebanyak 8,348 kg di hadapan Balai Polis Kota Bharu, pada jam 9.15 malam, 24 November 2022.
Pertuduhan mengikut Seksyen 21 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 22 (1) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Siti Edabayu Subhan bersama Pegawai Pendakwa, Muhammadi Iman Masjuri, manakala OKS diwakili peguam Syed Muhammad Syafiq Syed Abu Bakar.
Terdahulu, Muhammadi Iman menawarkan sebanyak RM20,000 jaminan untuk setiap pertuduhan dengan mengambil kira kes serius yang membabitkan barangan kawalan serta kepentingan awam.
Bagaimanapun, Syed Muhammad Syafiq memohon pengurangan jaminan memandangkan OKS perlu menanggung seorang isteri dan tiga anak.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dan OKS perlu melapor diri pada Ahad pertama setiap bulan serta tidak mengganggu saksi.
Sebutan semula kes bagi serahan dokumen pada 29 Oktober ini.
IMedikel TV






