Home Buletin Semasa PERHILITAN TERIMA HAMPIR 5,000 ADUAN KONFLIK MANUSIA, GAJAH DENGAN KERUGIAN RM 4...

PERHILITAN TERIMA HAMPIR 5,000 ADUAN KONFLIK MANUSIA, GAJAH DENGAN KERUGIAN RM 4 JUTA

312
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

PUTRAJAYA: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) menerima hampir 5,000 aduan konflik antara manusia dan gajah sepanjang tempoh 2020 hingga tahun lalu.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad dalam satu kenyataan pada Selasa memaklumkan, jumlah itu termasuk kerugian harta benda yang membabitkan nilai hampir RM4 juta.

“Dalam tempoh lima tahun ini, sebanyak lapan ekor gajah direkodkan mati akibat roadkill di Semenanjung Malaysia termasuk tiga daripadanya berlaku pada tahun ini.

“Berdasarkan kajian pada 2016, kawasan keliaran gajah telah berkurangan sebanyak 68 peratus akibat perubahan guna tanah untuk pertanian, perladangan, serta pembangunan infrastruktur seperti jalan raya dan penempatan,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Mengulas mengenai insiden kematian seekor anak gajah baru-baru ini, Nik Nazmi berkata, beliau amat berdukacita dan memandang serius insiden terbabit.

Katanya, kemalangan itu bukan sekadar tragis tetapi mencerminkan cabaran besar dalam hubungan antara manusia dan alam khususnya dalam usaha mengekalkan kelangsungan hidup spesies liar.

“Kawasan Jalan Raya Timur Barat (JRTB) adalah lokasi yang dikenal pasti berisiko tinggi bagi pertembungan antara manusia dan hidupan liar khususnya gajah,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan seekor anak gajah jantan ditemukan mati akibat dilanggar sebuah lori kontena di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli, Ipoh pada Ahad lepas.

Nik Nazmi berkata, hutan yang menjadi habitat utama gajah adalah di bawah bidang kuasa negeri seperti termaktub dalam Perkara 74(2) Perlembagaan Persekutuan.

“Penyelesaian jangka panjang memerlukan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

“Kerajaan Persekutuan juga telah menyediakan insentif Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT) sejak 2019 iaitu insentif kewangan tambahan kepada kerajaan-kerajaan negeri bagi melindungi dan memulihara kawasan perlindungan.

“Sebanyak RM800 juta diperuntukkan, dan RM250 juta pada tahun ini, kerajaan negeri boleh memanfaatkan peruntukan EFT bagi menangani konflik manusia dan hidupan liar,” katanya.

Katanya, peruntukkan tersebut termasuk usaha pemeliharaan dan pemuliharaan habitat gajah.

Jelasnya, pelaksanaan EFT mampu menunjukkan keberhasilan di mana sejumlah 90,000 hektar kawasan perlindungan daratan diwartakan.

Tambahnya, terdapat peningkatan keluasan Hutan Simpan Kekal (HSK) sebanyak lebih 14,000 hektar.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here