Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Penyertaan sulung seekor kucing jalanan bernama Molly dalam pertandingan kucing cantik berakhir dengan kejayaan apabila dinobatkan sebagai juara dalam kategori kucing kacukan bulu pendek pada Program Kampungku Ceria Tasik Paya Besar.
Pemiliknya, Roaini Md Idros, 65, berkata beliau tidak menyangka kucing jantan berusia setahun itu berjaya menewaskan 20 peserta lain walaupun tidak mempunyai pengalaman menyertai pertandingan seumpama itu sebelum ini.
Menurutnya, keputusan untuk menyertai pertandingan yang dianjurkan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Sri Fajar itu dibuat bagi memeriahkan program komuniti berkenaan.
“Seperti kata pepatah ‘kalau sudah rezeki tidak kemana’ kucing jantan bernama Molly yang baharu menginjak usia setahun diumum sebagai juara dan membawa pulang wang tunai RM150 menjadi rezeki yang tidak pernah diduga sama sekali.
“Buku rekod rawatan berserta maklumat yang ada menjadi kelebihan buat Molly untuk muncul juara kerana terdapat kucing lebih cantik layak muncul juara namun disebabkan tiada buku rekod rawatan menyebabkan mereka tewas,” katanya, di sini hari ini.
Beliau yang menetap di Kampung Sri Fajar, di sini berkata, tiga hingga empat kali setahun dia membawa kucing kesayangannya itu mendapatkan rawatan di klinik veterinar Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pahang bagi mendapatkan rawatan dan pemeriksaan.
Katanya penyertaan tersebut adalah percuma dan beliau mendapat sokonganpenuh daripada keluarga serta rakan-rakan sekampung.
Menurutnya, Molly yang memiliki berat 2.1 kilogram adalah kucing jalanan kacukan British Shorthair (BSH) yang ditemui di perkarangan Masjid Sri Fajar selepas dipercayai ditinggalkan oleh individu tertentu.
“Kemenangan kali pertama ini membakar semangat saya untuk menyertai pertandingan lain akan datang, maklumat yang dikongsikan pegawai JPV dapat menambahkan lagi ilmu berkaitan pertandingan kucing yang mementingkan beberapa ciri seperti kebersihan, rekod rawatan dan kecantikan.
“Sebelum ini saya tidak berminat dengan kucing namun kini berubah kepada mencintai haiwan manja itu. Sokongan keluarga menambahkan lagi minat pada kucing terutama kucing jalanan,” katanya yang kini memiliki empat kucing jalanan.
IMedikel TV






