Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
JENIANG: Sebuah lori yang ditahan kerana disyaki melanggar lampu isyarat merah di Jalan Jeniang membawa kepada penemuan pelbagai kesalahan serius dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Baling, pagi tadi.
Menurut kenyataan yang dimuat naik menerusi laman rasmi JPJ, hasil pemeriksaan mendapati lori berkenaan beroperasi dengan cukai jalan, insurans dan sijil pemeriksaan PUSPAKOM yang telah tamat tempoh.
“Lebih membimbangkan, pemandu lori itu didapati tidak memiliki Lesen Memandu Kompeten (CDL) serta Lesen Vokasional Barangan (GDL) yang sah untuk mengendalikan kenderaan perdagangan.
“Susulan penemuan tersebut, tindakan penguatkuasaan segera telah diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,”menurut kenyataan itu.
JPJ dalam kenyataannya menegaskan bahawa kenderaan perdagangan yang beroperasi tanpa dokumen dan lesen yang sah bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh mengundang risiko keselamatan kepada pengguna jalan raya lain.
“Penguatkuasaan akan terus dipertingkat tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan,” menurut kenyataan itu.
IMedikel TV






