Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Kontinjen tuan rumah, Kuantan menepati ramalan untuk muncul juara keseluruhan Kejohanan Sukan Akuatik Majlis Sukan Sekolah Pahang (MSSP) 2026 selepas mengumpul 47 pingat emas, 42 perak dan 45 gangsa.
Kejohanan selama tiga hari itu diadakan di Kompleks Akuatik Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), di sini, disertai 10 pasukan mewakili daerah di Pahang.
Seramai 114 atlet bersaing dalam 96 acara renang dan terjun kategori lelaki dan perempuan bawah umur 12, 15 dan 18 tahun.
Pengerusi Teknik Akuatik Majlis Sukan Sekolah Pahang (MSSP), Mohd Nakhaei Zarawi berkata, atlet yang meraih kejayaan cemerlang dan memenuhi syarat ditetapkan berpeluang terpilih untuk mewakili Pahang pada Kejohanan Akuatik MSSM.

Katanya, penilian semasa atlet turut berpandukan catatan masa kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM). Pencapaian Pahang pada MSSM tahun lalu berada ditangga ke 11 daripada 15 pasukan yang bertanding.
“Prestasi atlet yang bertanding pada kejohanan sukan akuatik MSSP kali ini semakin meningkat, mereka mampu mempamerkan pencapaian yang diharapkan dalam setiap acara individu dan berpasukan disertai.
“Saya berharap pencapaian kontinjen Pahang pada Kejohanan Akuatik MSSM di Perak tahun ini lebih meningkat berbanding sebelum ini,” katanya, di sini hari ini.
Bagi Safiyya Salman, pada kejohanan sukan akuatik MSSP kali ini dia menyertai sembilan acara yang dipertandingkan, dia berjaya meraih tiga pingat emas, satu perak dan satu gangsa.
Menurut pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abu Bakar, Kuantan itu, impian selepas ini untuk terpilih mewakili Pahang dipentas MSSM yang pastinya begitu mencabar dengan kehadiran ramai atlet berpengalaman.
“Saya ingin buktikan kemampuan yang ada dapat terus menyerlah bukan sahaja dipentas negeri tetapi turut ke gelanggang kebangsaan dan antarabangsa suatu hari nanti.
“Sokongan jurulatih dan keluarga menambahkan lagi semangat saya untuk terus berusaha melakar kejayaan di kolam renang,” katanya yang berusaha ingin buktikan kebolehan dimiliki.
IMedikel TV






