Home Hiburan SELESAI KES MAHKAMAH SYED SADDIQ DULU BARU FIKIR SOAL NIKAH

SELESAI KES MAHKAMAH SYED SADDIQ DULU BARU FIKIR SOAL NIKAH

Shah Alam: “Kita lebih fokus kepada persiapan Syed Saddiq (berdepan kes mahkamah) pada 30 Jun ini, jadi mohon sama-sama doakan.”

Begitu kata pelakon dan penyanyi, Bella Astillah ketika ditanya mengenai persiapan majlis perkahwinannya dengan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 34.

Memetik laporan Harian Metro, Bella atau nama sebenar Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 32, berkata kedua-dua belah pihak belum menetapkan tarikh dan lokasi majlis pernikahan kerana mahu memberi tumpuan terhadap urusan penting membabitkan kes mahkamah Syed Saddiq terlebih dahulu.

Syed Saddiq kini menunggu keputusan rayuan akhir pendakwaan terhadap pembebasannya daripada tuduhan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) di Mahkamah Persekutuan pada 30 Jun ini.

“Sebenarnya, apabila orang tanya mengenai persediaan, saya masih belum boleh berkongsi sangat. Saya tidak tahu kalau kalian (anda) perasan atau tidak (kes mahkamah Syed Saddiq). 

“Selepas itu (kes selesai) baru kita akan kongsi. Mungkin sekarang fokus kepada mana yang penting terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui pada konsert Bintang Universe: The Dimension di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, kata Bella, segala perancangan majlis perkahwinan mereka akan difikirkan selepas segala urusan berkaitan kes mahkamah Syed Saddiq diselesaikan kelak.

“Selepas urusan mengenai Syed Saddiq berakhir, baru saya akan fikir mengenai tarikh, tempat, baju nikah dan sebagainya.

“Saya percaya kita dan semua di luar sana banyak mendoakan. Pada saya, doa itu jauh lebih penting dan ikut sebagaimana sudah ditetapkan,” katanya.

Ditanya tarikh majlis perkahwinannya yang didakwa sudah ditetapkan bulan ini pula, Bella menafikan perkara itu.

Katanya, pemilihan tarikh pernikahan mereka tidak bergantung kepada sesuatu tarikh yang dianggap cantik, sebaliknya lebih mengutamakan keadaan dan masa yang sesuai.

“Sebenarnya, tarikh majlis perkahwinan tidak bergantung kepada sama ada tarikh itu cantik atau tidak. Sebenarnya, saya lebih fokus kepada kes mahkamah Syed Saddiq.

“Kita mohon doakan semoga semuanya dipermudahkan dan mungkin selepas itu kita boleh sama-sama pergi tengok tempat majlis perkahwinan,” kata ibu kepada dua cahaya mata itu.

Terdahulu, Syed Saddiq dan Bella mengikat tali pertunangan pada 28 Mac lalu pada majlis yang dihadiri ahli keluarga serta teman rapat. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here