Home Buletin Semasa PERHILITAN SELESAI ANCAMAN GAJAH LIAR DI KAMPUNG PAYA RAMBUTAN

PERHILITAN SELESAI ANCAMAN GAJAH LIAR DI KAMPUNG PAYA RAMBUTAN

Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV

KUANTAN: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman (PERHILITAN) Pahang akan terus memantau pergerakan kumpulan gajah liar yang masih bebas bagi memastikan haiwan terbabit tidak kembali memusnahkan tanaman kelapa sawit dan pisang penduduk Kampung Paya Rambutan dekat Paya Bungor, di sini.

Usaha mengawal gajah liar terbabit daripada terus menceroboh kawasan kampung terbabit dilakukan selepas kejayaan menangkap empat ekor haiwan terbabit minggu lalu dan operasi memindahkan ke habitat asal telah dilakukan dengan bantuan Pusat Konservasi Gajah Sungai Deka, Terengganu menggunakan denak Suria dan Indah.

Pengarah PERHILITAN Pahang, Yusoff Shariff berkata, Unit Tangkapan Gajah PERHILITAN Pahang berjaya menangkap haiwan terbabit dan operasi memindah mengambil masa dua hari pada Rabu dan Jumaat.

Menurutnya, diharapkan episod ancaman gajah terhadap projek pertanian penduduk Kampung Paya Rambutan tidak lagi berlaku selepas ini, pemasangan kolar satelit pada seekor gajah yang dilepaskan dapat membantu mengesan pergerakan kumpulan haiwan terbabit.

“Keselamatan penduduk Kampung Paya Rambutan kini lebih terjamin selepas kita menangkap dan memindahkan kumpulan gajah liar terbabit yang sebelum ini sentiasa menceroboh kebun pisang dan ladang kelapa sawit.

“Sebelum ini kumpulan haiwan terbabit dikatakan menghampiri kawasan penempatan penduduk hingga menimbulkan kebimbangan mereka,” katanya, di sini semalam.

Jelasnya, penduduk yang melihat kehadiran gajah di kampung dan kebun mereka diingatkan supaya segera menghubungi PERHILITAN, jangan cuba mengambil tindakan sendiri bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Yusoff berkata, PERHILITAN mengucapkan terima kasih pada penduduk yang memberi kerjasama menyalurkan maklumat kehadiran gajah liar sebelum ini, kerjasama berkenaan diharap dapat diteruskan selepas ini dalam memastikan ancaman haiwan terbabit tidak terus berlaku selepas ini.

Pekebun, Jamsari Mohammad berkata, dia bagi pihak pekebun dan penduduk setempat mengucapkan terima kasih pada PERHILITAN yang berjaya membantu menyelesaikan masalah berkaitan ancaman gajah liar di Kampung Paya Rambutan.

“Sebelum ini kami sentiasa bimbang dengan ancaman haiwan liar terbabit, lebih kecewa lagi apabila terpaksa menanggung kerugian selepas tanaman kelapa sawit dimusnahkan kumpulan gajah yang muncul pada waktu malam.

“Impian meraih pendapatan tambahan setiap bulan hasil komoditi berkenaan tidak menjadi kenyataan, sebaliknya saya kerugian lebih RM70,000 sejak projek pertanian kampung diusahakan,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here