KUALA TERENGGANU: Penyerang Curacao, Gervane Kastaneer yang bakal membuat penampilan pertama dalam saingan Piala Dunia 2026 masih kekal bersama Terengganu FC (TFC) dalam mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
Memetik laporan Harian Metro, sebelum ini desas-desus mengaitkan bekas pemain kebangsaan Belanda bawah 21 tahun itu bakal meninggalkan kelab itu selepas berakhirnya saingan Liga M pada musim ini.
Ini kerana peminat tidak sanggup kehilangan penyerang yang bakal beraksi dalam saingan Piala Dunia di Amerika Syarikat (AS), Mexico dan Kanada bermula 11 Jun hingga 19 Julai ini.
Ketua Pegawai Operasi Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Mohd Syahrizan Mohd Zain berkata, pemain kelahiran Rotterdam, Belanda itu masih kekal bersama skuad Penyu dalam saingan Liga M musim 2026/2027 yang bakal membuka tirainya pada Ogos depan.
“Ya, pemain antarabangsa Curaçao itu masih kekal menjadi milik pasukan TFC dalam mengharungi saingan Liga M pada musim akan datang kerana masih mempunyai baki kontrak.
“Pihak pengurusan mengikatnya selama setahun bermula jendela kedua perpindahan pemain Liga M musim 2025/2026 pada Januari lalu dan kontraknya bakal berakhir pada Disember tahun ini.
“Jadi dengan penjelasan ini diharapkan tidak timbul lagi persoalan sama ada pemain itu bersama pasukan ataupun sebaliknya pada musim akan datang,” ujarnya ketika ditemui di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, semalam.
Bagaimanapun usaha untuk mendapatkan reaksi daripada pemain itu sendiri melalui WhatsApp gagal kerana dia tidak memberi maklum balas.
Ketika ditanya mengenai TFC dijangka bakal menerima ‘durian runtuh’ daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) melalui ‘Club Benefit Programme’ (CBP) iaitu bayaran pampasan kelab melepaskan Kastaneer yang terpilih mewakili skuad kebangsaan Curacao ke Piala Dunia 2026, Mohd Syahrizan menegaskan setakat ini pihaknya belum menerima sebarang imbuhan lagi.
“Jika berdasarkan peraturan persatuan akan dapat habuan berkenaan, cumanya jumlah sebenar belum diketahui kerana ia juga bergantung sejauh mana pasukan Curaçao itu layak beraksi dalam saingan Piala Dunia itu.
“Jika sehingga ke peringkat suku akhir ataupun sebagainya, mungkin imbuhan yang diperoleh itu lebih banyak lagi buat kelab,” katanya.
Program ini adalah daripada FIFA untuk memberi pampasan kepada kelab yang melepaskan pemain mereka menyertai kejohanan Piala Dunia. Berdasarkan laporan, TFC dijangka menerima kira-kira RM30,000 sehari bagi setiap pemain yang terlibat sepanjang tempoh kejohanan berlangsung. – HMetro Online –
IMedikel TV






