Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Seorang penuntut sebuah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas dua pertuduhan mendatangkan kecederaan parah dan memiliki asid sulfurik dalam kejadian pada 3 Mei lalu.
Tertuduh Keertana Naidu Rajendran, 22, mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan tersebut dan mohon bicara selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim, Nik Habri Muhamad.
Mengikut pertuduhan pertama, pada 3 Mei lalu, jam 4.23 petang, tertuduh didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan parah kepada mangsa, Nurul Husna Rahim,22, dengan menggunakan bahan melecur iaitu asid sulfurik di sebuah pejabat di Kubang Kerian, di sini.
Kesalahan itu dilakukan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Jika disabitkan kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan dikenakan denda atau sebatan.

Bagi pertuduhan kedua, pada tarikh dan masa sama, tertuduh didapati memiliki bahan kakisan atau asid sulfurik dengan niat mendatangkan kecederaan kepada mangsa.
Kesalahan itu dilakukan di bawah Seksyen 3 Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
Jika disabitkan kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih tiga tahun dan sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Azeezi Nordin.
Terdahulu Ahmad Faiz Fitri tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan yang dilakukan tertuduh amat serius.
Bagaimanapun Azeezi memohon agar tertuduh diberi jaminan munasabah, ekoran anak guamnya adalah pelajar cemerlang dan bakal menghadapi peperiksaan, dan sebelum ini tertuduh adalah kawan baik kepada mangsa.
Selain itu, bapa tertuduh juga hanya bekerja sebagai agen insurans dengan pendapatan RM 1,000 sebulan.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM 20,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan syarat tambahan tertuduh perlu hadir di balai polis berdekatan dan tidak dibenarkan mengganggu mangsa.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 9 Jun depan.
IMedikel TV





