Home Buletin Semasa KELANTAN TAPIS LEMBU BERPENYAKIT UNTUK IBADAH KORBAN TAHUN INI

KELANTAN TAPIS LEMBU BERPENYAKIT UNTUK IBADAH KORBAN TAHUN INI

191
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Kerajaan negeri akan menapis kemasukan lembu korban yang berpenyakit dari Thailand sebelum menghantarnya ke Malaysia khususnya Kelantan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail, berkata kemasukan lembu korban semakin bertambah berbanding tahun lalu menjadikan Kelantan sebagai hub pengeluaran terbesar.

“Kita melihat kebanyakan dari Thailand, oleh kerana daripada sebelah atas kita tengok kepada saringan penyakit, sekarang ini dibimbangi ada penyakit daripada lembu sebelah atas.

“Biasanya dari Vietnam, Kemboja tetapi kita mengutamakan yang pastinya bebas daripada penyakit supaya tidak merebak ke kawasan kita,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Hari Veterinar Negeri Kelantan, di Ibu Pejabat Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, anggaran lembu yang bakal masuk ke negeri ini adalah lebih 30,000 termasuk lembu hibrid, lembu sado, lembu tempatan dan lembu Thailand.

Katanya, lembu tersebut akan dikuarantin di pusat kuarantin yang diiktiraf sebulan sebelum perayaan Aidiladha.

Jelasnya, setakat ini permintaan lembu korban di Kelantan semakin meningkat dalam kalangan masyarakat memandangkan mereka menawarkan harga yang berpatutan bagi satu bahagian.

“Orang ramai nampak beria-ria tahun ini berkorban sembelihan dengan nilai ada antara RM500 hingga RM700 satu bahagian, kalau dulu sampai RM600 baru dapat lembu yang besar maknanya harga lembu sekarang adalah stabil.

“Cuaca panas tidak menghalang sembelihan korban kerana ini adalah satu ibadah,” katanya.

Terdahulu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud merasmikan pelancaran VetCare Mobile dan buku pelan pembangunan (purple book) serta menandatangani Plat Perasmian Vetpet Hotel Kucing bagi Pejabat Veterinar Jajahan Kota Bharu dan Bachok pada Majlis Sambutan Hari Veterinar Negeri Kelantan, di sini, hari ini.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here