Home Luar Negara PENINGKATAN KETARA SENTIMEN ANTI ISLAM DIRASAI DI EU

PENINGKATAN KETARA SENTIMEN ANTI ISLAM DIRASAI DI EU

170
0

VIENNA: Umat Islam di Eropah berdepan lebih banyak isu perkauman dan diskriminasi, menurut Agensi Hak Asasi Kesatuan Eropah (FRA) pada Khamis.

Mereka menjelaskan, peningkatan mendadak terhadap isu itu berlaku biarpun sebelum serangan Hamas ke atas Israel, yang turut mengakibatkan peningkatan sentimen anti Islam secara ketara.

FRA berkata, beberapa negara Kesatuan Eropah (EU) melaporkan peningkatan kes anti Islam serta anti-Semitisme sejak 7 Oktober 2023, selepas Hamas menyerang Israel dan kemudian menyaksikan rejim itu melancarkan serangan balas terhadap Gaza.

“Kami menyedari laporan daripada beberapa negara EU menonjolkan lonjakan kebencian anti Islam serta anti Semitisme selepas serangan Hamas,” kata jurucakap FRA, Nicole Romain.

Bagaimanapun sebelum itu, laporan FRA terbaru menunjukkan semakin sukar untuk hidup sebagai seorang Islam di EU, dengan aduan tertinggi dicatatkan di Austria, Jerman dan Finland.

Hampir satu daripada dua orang Islam di EU berdepan isu perkauman dan penindasan dalam kehidupan seharian mereka, meningkat mendadak sehingga 39 peratus berbanding hasil tinjauan pada edisi terakhir FRA pada 2016.

“Kami menyaksikan lonjakan membimbangkan dalam isu perkauman dan penindasan terhadap orang Islam di Eropah.

“Ini didorong oleh konflik di Asia Barat dan diburukkan lagi oleh retorik anti Islam tidak berperikemanusiaan yang kita lihat di seluruh benua,” kata Pengarah FRA, Sirpa Rautio.

Kajian itu membabitkan lebih 9,600 orang Islam di 13 negara EU antara Oktober 2021 dan Oktober 2022.

FRA berkata, wanita, lelaki dan kanak-kanak Islam menjadi sasaran bukan sahaja kerana agama mereka, tetapi juga kerana warna kulit dan latar belakang etnik atau status pendatang.

Katanya, golongan muda Islam yang dilahirkan di EU dan wanita yang memakai pakaian mematuhi tuntutan agama adalah antara golongan yang amat terjejas.

Tinjauan itu mencatatkan lonjakan dalam perkauman anti-Islam terutama dalam pasaran pekerjaan, dengan kesan ketara ke atas bidang kehidupan lain seperti perumahan, pendidikan atau penjagaan kesihatan.

FRA berkata, kira-kira 26 juta orang Islam tinggal di EU, membentuk kira-kira lima peratus daripada jumlah penduduk EU, memetik anggaran paling terkini yang tersedia untuk 2016 daripada Pusat Penyelidikan Pew, dengan kebanyakannya tinggal di Perancis dan Jerman.

FRA menyatakan, bilangan orang Islam di EU meningkat ketara dalam beberapa tahun kebelakangan ini disebabkan orang yang melarikan diri dari konflik di Afghanistan, Iraq dan Syria.

Pada Julai, FRA dalam laporannya menyebut komuniti Yahudi Eropah sedang menghadapi gelombang anti-Semitisme yang meningkat, seiring dengan konflik melanda Asia Barat yang menyukarkan usaha untuk menanganinya. – AFP, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here