ATLANTA: Seorang lelaki di Georgia, Amerika Syarikat (AS) yang disifatkan sebagai pembunuh kejam, baru-baru ini, bertindak mencungkil kedua-dua belah matanya serta memotong sebahagian lidahnya, lapor Mirror.
Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, perbuatan itu dipercayai dilakukan sebagai cubaan untuk membolehkannya dipindahkan ke sebuah kemudahan perubatan selepas dia ditahan pihak berkuasa.
Robert Brandon Keller, 32, sebelum ini didapati bersalah membunuh Bruce William Dupree, 43, dalam satu kejadian samun kereta pada Oktober 2024. Ia selepas mangsa menumpangkan lelaki itu.
Selepas penangkapannya, Keller dilaporkan mencederakan dirinya sendiri dengan mencungkil matanya, namun menurut laporan The Georgia Virtue, dia kemudian memberitahu pengawal penjara bahawa tindakannya itu dilakukan sebagai cubaan untuk menyelamatkan diri.
Dia dipercayai berbuat demikian dengan harapan ditempatkan di kemudahan perubatan penjara, sebelum akhirnya dijatuhi hukuman penjara seumur hidup pada 2 Julai lalu.
Bagaimanapun, tidak jelas di mana dia melakukan perbuatan berkenaan.
Keller didakwa menyerang Dupree ketika berada di bawah pengaruh dadah sebelum bertindak mengelar leher mangsa. Dia kemudian mengheret Dupree ke kawasan berumput berhampiran Lebuh Raya Antara Negeri 16 di Bulloch County, Georgia, lalu meninggalkannya di situ.
Seorang pemandu yang prihatin kemudiannya menemukan Dupree dalam keadaan parah dan sedang menjerit meminta pertolongan di tepi jalan lalu segera menghubungi pihak polis.
Bagaimanapun, Dupree akhirnya meninggal dunia akibat kecederaan dialaminya.
Pihak polis berjaya mengesan Keller tidak lama selepas itu dan menahannya di Patriot Inn, yang terletak di Register, Georgia.
Hakim Matthew Hube dalam penghakimannya menyelar tindakan tertuduh dengan menyifatkan Keller sebagai mewakili sifat terburuk manusia, selain mengambil kesempatan terhadap seseorang yang cuba membantunya.
Keller kemudiannya dijatuhi hukuman penjara seumur hidup. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






